Images
  • trade

Pemulihan perdagangan global terencat lagi dalam suku pertama: Laporan PBB

GENEVA: Pemulihan dalam perdagangan global dijangka terencat lagi pada suku pertama 2021 sedang pandemik COVID-19 terus menimbulkan gangguan terhadap industri pelancongan selepas perdagangan dunia menguncup 9 peratus pada 2020, menurut satu laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu (10 Feb).

Setelah langkah sekatan pergerakan menyebabkan perdagangan menguncup 15 peratus pada separuh pertama 2020, ia pulih pada separuh kedua, dengan perdagangan barangan global meningkat sekitar 8 peratus pada suku keempat berbanding suku ketiga, menurut Persidangan PBB bagi Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD).

Ia terutamanya didorong oleh negara-negara membangun, khususnya di Asia Timur, dengan perdagangan barangan yang berasal dari rantau itu naik 12 peratus pada suku keempat dari tahun ke tahun.

"Ekonomi Asia Timur mendahului proses pemulihan dengan pertumbuhan eksport yang kukuh dan keuntungan dalam bahagian pasaran global," kata UNCTAD, sambil menambah bahawa kebanyakan sektor pengilangan bangkit semula pada suku keempat, selain tenaga dan pengangkutan.

Bagaimanapun, perdagangan perkhidmatan mendatar pada tahap yang dilihat dalam suku ketiga, menurut laporan itu, sambil menambah bahawa eksport perkhidmatan dari China, dan India, pada tahap lebih rendah, mencatat kelakonan lebih baik berbanding negara-negara lain.

Bagi suku pertama 2021, UNCTA mengunjurkan kemerosotan perdagangan barangan sebanyak 1.5 peratus berbanding suku sebelumnya, dan kemerosotan perdagangan perkhidmatan sebanyak 7 peratus. Namun UNCTA menekankan terdapat ketidakpastian dalam ramalannya ekoran pandemik dan ketidaktentuan tentang pakej rangsangan.

- Reuters/TQ/tq

Top