Images
  • yoga
    Seorang wanita melakukan senaman yoga. (Gambar: Pixabay)

Pemilik studio senaman prihatin belum terima bayaran dari GuavaPass

SINGAPURA: Syarikat aplikasi kecergasan GuavaPass tidak lama lagi akan mengundurkan diri dari pasaran Singapura. Namun, sesetengah pemilik studio senaman mendakwa syarikat tersebut masih berhutang dengan mereka. Ini sekali gus membuat mereka khuatir sekiranya mereka tidak akan dibayar.

Aplikasi yang berpangkalan di Singapura itu, menyediakan akses kepada lebih 200 rakan studio dan pelbagai kelas kecergasan termasuk yoga, tinju serta tarian. Ia diambil alih oleh pesaingnya yang berpangkalan di New York, ClassPass. GuavaPass akan terus beroperasi sehingga Isnin depan (14 Jan).

Empat pemilik studio memberitahu Mediacorp bahawa bayaran mula tertunggak pada Oktober 2018, dengan salah satu daripada mereka masih lagi belum dibayar sejak November.

Mengumumkan tentang pengambilan alih syarikat pada Isnin (7 Jan), ClassPass, yang dilancarkan di negara ini pada awal Ogos, menyatakan: "Pengasas GuavaPass Jeffrey Liu dan Rob Pachter akan menyertai pasukan ClassPass, bersama dengan beberapa kakitangan GuavaPass, untuk mengembangkan perniagaan ClassPass ke peringkat antarabangsa."

Kenyataan itu juga menyatakan bahawa pemerolehan tersebut akan dimuktamadkan bulan ini. GuavaPass akan menghentikan operasinya dalam pasaran-pasaran di mana ClassPass beroperasi. ClassPass akan mengambil alih operasi-operasi GuavaPass di 11 bandar merata Asia, termasuk Bangkok, Dubai dan Hong Kong.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap ClassPass berkata: "Kami komited dalam memastikan peralihan bagi semua rakan studio berjalan lancar sebaik mungkin. Kami juga sedang berusaha untuk memastikan rakan-rakan GuavaPass dibayar bagi semua tempahan pada Disember dan Januari." GuavaPass belum memberikan sebarang komen.  

- CNA/AQ/aq

Top