Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pemilik Mi Udang Deanna’s Kitchen rancang buka cawangan baru di Woodlands

Jika anda pernah menyantap ‘Very Big Prawn Mee’ dari Deanna’s Kitchen, anda pasti tahu bahawa itulah antara mi udang halal paling sedap di Singapura sekarang ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemilik Mi Udang Deanna’s Kitchen rancang buka cawangan baru di Woodlands

Very Big Prawn Mee dari Deanna's Kitchen (kiri), pemilik Deanna's Kitchen (kanan). (Gambar-gambar: Deanna's Kitchen/Facebook)

BERITAmediacorp: Jika anda pernah menyantap ‘Very Big Prawn Mee’ dari Deanna’s Kitchen, anda pasti tahu bahawa itulah antara mi udang halal paling sedap di Singapura sekarang ini.

Jadi, ini berita baik buat para penduduk di kawasan utara Singapura. Tidak berapa lama lagi, anda tidak perlu pergi jauh ke Jurong East, Bedok atau Toa Payoh untuk menikmati mi udang Deanna’s Kitchen.

Ini kerana pemiliknya, pasangan suami isteri Muhammad Asri Ramli dan Deanna atau sebelum ini dikenali sebagai Deanna Chew, merancang untuk membuka cawangan terbaru dan keempat di daerah utara Singapura, lebih tepat lagi di Woodlands.

(Gambar-gambar: Deanna's Kitchen/Facebook)

Pasangan itu memberitahu BERITAmediacorp, mereka sudahpun meninjau-ninjau lokasi terbaik untuk membuka sebuah lagi gerai di Woodlands. Encik Asri dan Cik Deanna belum lagi menetapkan tarikh tertentu namun memberi bayangan bahawa ia akan dibuka dalam tempoh lapan bulan mendatang.

“Sebenarnya, kami mahu berada di daerah-daerah utama. Kami sudah buka di Barat (2018), gerai di Bedok berada di Timur (2019), Toa Payoh (2017) di kawasan Tengah dan sebuah lagi kami mahu buka di Utara. Itu sahaja. Kami tidak mahu tamak supaya mudah untuk kami kendalikan,” Encik Asri membuka cerita tentang perancangannya itu.

Beliau menambah: “Sewaktu kami mulakan perniagaan dulu, kami mahu berkongsi Mi Udang ini dengan masyarakat. Kami mahu ia mudah untuk mereka dapatkan. Sebab itu kami buka di kawasan-kawasan yang berlainan jadi mereka tidak perlu pergi terlalu jauh.”

KISAH MI UDANG HALAL DEANNA’S KITCHEN

Mi Udang asalnya adalah makanan dari masyarakat Cina yang mula bertitik di Singapura sejak awal tahun 1980-an. Mungkin versi halal hidangan itu ada dijual di beberapa tempat di negara ini namun Mi Udang halal versi Deanna’s Kitchen disifatkan sebagai paling dekat dengan versi yang asli.

Ini kerana Cik Deanna, 36 tahun, adalah seorang berbangsa Cina. Beliau memeluk agama Islam dan bernikah dengan suaminya pada tahun 2009.

(Gambar-gambar: Deanna's Kitchen/Facebook)

Mi Udang merupakan makanan kegemaran Cik Deanna. Malangnya, beliau gagal mencari Mi Udang versi halal untuk dinikmati selepas memeluk Islam. Menurut Cik Deanna, Mi Udang asli mengandungi rebusan tulang-tulang babi. Ini mendorong beliau untuk bereksperimen dan memasak sendiri Mi Udang yang rasanya paling dekat dengan yang asli.

Ternyata usaha beliau berbaloi apabila ia mendapat sambutan memberangsangkan daripada keluarga, kenalan dan juga warga media sosial yang ingin mencuba Mi Udang tersebut.

Semasa BERITAmediacorp berkunjung ke salah sebuah gerai mereka - di Blk 214 Jurong East Street 21 - kami merasakan sendiri Mi Udang Deanna’s Kitchen yang menjadi sebutan ramai. Ternyata, ia sedap bagai dikata. Sekali hirup, ternyata supnya ringan dan rasanya serba-serbi cukup.

RAHSIA KEENAKAN SUP DEANNA’S KITCHEN? INI DEDAH PEMILIKNYA...

Apa agaknya rahsia Mi Udang Deanna’s Kitchen itu?

“Supnya kami perlu rebus semalaman. Rebusan tulang-tulang babi itu (dalam versi tidak halal) kami gantikan dengan kulit udang, tulang-tulang ayam, ikan bilis, udang kering (dalam versi halal ini) dan beberapa lagi bahan rahsia!” seloroh Cik Deanna dan suaminya.

Selain udang, pasangan itu juga begitu bermurah hati dengan kepah yang turut diletakkan di dalam setiap mangkuk mi yang dihidangkan. Setiap mangkuk mempunyai antara 20 dengan 30 kepah!

(Gambar-gambar: Deanna's Kitchen/Facebook)

Bagi para peminat Mi Udang Deanna’s Kitchen, ini fakta menarik untuk anda. Tahukah anda, Cik Deanna dan suaminya melaburkan sebanyak $5,000 setiap minggu hanya untuk membeli bekalan udang dan kepah!

TITIKBERATKAN MUTU: BAWANG GORENG BUAT SENDIRI, MI UDANG MESTI ‘CANTIK’

Selain itu pasangan ini juga membelanjakan sehingga $1,000 setiap bulan untuk membeli sekitar 33 kilogram bawang kecil untuk membuat sendiri bawang goreng mereka. Ini adalah satu lagi faktor, yang menurut Cik Deanna, menaikkan rasa Mi Udang beliau.

“Kami masih membuat bawang goreng sendiri di rumah. Kopek, potong dan goreng. Boleh saja kalau kami membelinya, ia lebih murah. Tetapi rasanya tidak sama seperti yang dibuat sendiri.

“Saya rasa apabila pelanggan tahu kami bersusah payah membuat bawang goreng sendiri, mereka menyedari bahawa kami amat menitikberatkan mutu. Kerana hanya perniagaan yang menitikberatkan mutu yang akan melakukan kerja-kerja seperti ini,” ujar Cik Deanna.

(Gambar-gambar: Deanna's Kitchen/Facebook)

Bercakap tentang mutu, Encik Asri menambah, beliau turut cerewet tentang cara Mi Udang mereka dihidangkan. Malah kesemua 10 kakitangannya juga dilatih untuk menjaga mutu Mi Udang agar sentiasa nampak ‘cantik’.

“Dari mula saya latih pekerja saya supaya memastikan standard dijaga. Bukan hanya mutu Mi Udang tetapi juga cara ia dihidangkan. Di mana dan bagaimana hendak diletakkan udang atau udang krai (crayfish) dengan cara yang sentiasa sama dan betul,” kata Encik Asri, 40 tahun.

CIRI-CIRI MI UDANG ‘PERFECT' DARI ‘PAKAR MI UDANG’

Bukan itu sahaja, khidmat pelanggan turut diberi perhatian sepenuhnya. Malah, Cik Deanna menambah, ia mungkin salah satu sebab para pelanggannya terus menyokong perniagaan mereka.

“Pelanggan kami lebih memahami kerana apabila mereka memberi maklum balas tentang sesuatu, saya akan pastikan saya memberikan respons. Suami saya sendiri akan berbual-bual dengan pelanggan yang datang ke kedai kami.

(Gambar-gambar: Deanna's Kitchen/Facebook)

Oleh kerana Cik Deanna mempunyai pengalaman ‘the best of both worlds’ dari segi Mi Udang, BERITAmediacorp bertanyakan kepada beliau, apakah ciri-ciri Mi Udang paling sedap menurut selera beliau sebagai seorang yang boleh dipanggil ‘pakar Mi Udang’.

Ini jawapan beliau: “Udang segar. Itu amat penting! Supnya mesti seimbang (sweet & savoury). Dalam masa yang sama, mesti boleh bau aroma udang dan ada rasa udang dalam sup. Perasanya bukan daripada MSG, sebaliknya daripada sup yang sudah direbus semalaman.”

VISI BESAR DEANNA’S KITCHEN BAGI 10 TAHUN INI

Meskipun boleh disifatkan sebagai ‘orang baru’ dalam dunia perniagaan makanan kerana baru tiga tahun berniaga, Cik Deanna dan Encik Asri tidak gentar untuk berkongsi tentang visi mereka bagi Deanna’s Kitchen.

Pemilik Deanna's Kitchen, Encik Asri dan Cik Deanna. (Gambar-gambar: Deanna's Kitchen/Facebook)

Pasangan itu kini bercita-cita besar, iaitu mahu membuka sebuah dapur pusat. Mereka malah menyasarkan untuk mempunyai sebuah dapur pusat seawal tahun 2021.

Langkah ini menurut mereka akan membolehkan perniagaan mereka berkembang lebih luas dalam sekitaran yang masih boleh mereka kawal.

“Sebaik sahaja kami membuka dapur pusat, kami boleh membuka kedai berkonsepkan kiosk di pusat-pusat beli belah. Kami akan membuka kedai kiosk itu di lokasi-lokasi yang ada permintaan bagi Mi Udang kami. Kami sedar bahawa dengan adanya dapur pusat ia lebih mudah bagi kakitangan kami. Yang penting mudah untuk menjaga mutu sup dan bawang goreng kami,” jelas Encik Asri.

(Gambar-gambar: Deanna's Kitchen/Facebook)

Bukan itu sahaja, pasangan itu juga sudah mempunyai perancangan bagi 10 tahun mendatang. Ini termasuk membuka sebuah restoran makanan Cina.

“Selepas kami buka restoran, dapur pusat pun sudah ditubuhkan, kedai-kedai kiosk juga insha Allah sudah ada, kami juga ingin menembusi pasaran luar negara. Tapi itu mungkin dalam tempoh antara lima dengan 10 tahun akan datang,” tambah Cik Deanna. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan