Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pemikiran inovatif galak usahawan kekal berdaya saing dalam pasaran halal global sengit

Mengekalkan tahap daya saing dalam pasaran halal global bernilai sekitar AS$3 trilion (S$4.07 trilion) melalui kaedah 'design thinking' atau pemikiran reka bentuk yang berdaya inovasi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mengekalkan tahap daya saing dalam pasaran halal global bernilai sekitar AS$3 trilion (S$4.07 trilion) melalui kaedah 'design thinking' atau pemikiran reka bentuk yang berdaya inovasi.

Inilah antara ilmu yang ditimba sekitar 70 peniaga SME dalam program Masterclass anjuran Pembangunan Profesional Institut Pengurusan Singapura (SIM) dan syarikat Pure & Good Management hari ini (23 Apr).

DARI PENJAJA KE PEMBEKAL REMPAH

Pemilik Warong Pak Sapari yang terletak di Adam Road, Encik Sumadi Sapari berkongsi: "Dalam seminar ini saya dapat mempelajari pemikiran reka bentuk untuk meningkatkan perniagaan saya sebagai seorang penjaja kepada membuat rempah untuk memperluas dari Perniagaan ke Perniagaan (B2B)."

Bahkan Encik Sumadi kini juga sedang menyesuaikan resipi rempah turun-temurun itu kepada citarasa pelanggan agar ia dapat menggunakan dengan mudah. 

"Bagi rempah soto ayam itu, bukan hanya ayam yang boleh digunakan, tapi kita boleh pakai pelbagai daging, seperti kambing dan lembu," tambah beliau, menyentuh aspek berdaya inovasi.

PELUANG FAHAMI KEPERLUAN PELANGGAN ISLAM

Pengarah Eksekutif syarikat ayam itik Korea Selatan, Haebara, Encik Yearn Ha juga memberi pendapat: "Ia sedikit sebanyak memberi saya wawasan tentang apa yang perlu dipenuhi untuk berjaya dalam ekosistem halal ini.

"Ia memberi saya peluang memahami keperluan pelanggan Islam dengan meletakkan diri saya di tempat mereka."

Yang jelas, perkongsian ilmu hari ini bertujuan mempertingkatkan kemahiran tenaga pekerja selain kekal kompetitif.

WUJUDKAN KELEBIHAN BAGI TANGANI PERSAINGAN SENGIT

Malah program tersebut bukan sahaja mendampingi peniaga Melayu/Islam tempatan, tetapi juga peniaga luar negara yang mahu berjinak-jinak dalam pasaran halal.

Pengurus Kanan Klien, Pembangunan Profesional SIM, Encik Noor Hayat Khalil berkata: "Kami merasakan 'Masterclass' perlu diadakan supaya mereka dapat memperluaskan perniagaan dan juga mewujudkan kelebihan untuk menangani persaingan yang agak sengit.

"Dari itu saya rasa industri halal dapat berkembang dan juga dapat menjana pendapatan yang agak lumayan, terutama sekali dalam pasaran Asia Tenggara."

DR IRWANDI: KATA KUNCI ADALAH INOVATIF

Dengan pasaran halal global dijangka bernilai sekitar AS$3 trilion tahun ini, ahli sains dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) Profesor Irwandi Jaswir berkata ia peluang yang perlu direbut para peniaga Islam dalam industri halal global meskipun ia bersifat berdaya saing.

"Apa kelainan yang kita perlu ada supaya kita boleh masuk ke pasaran antarabangsa yang sedemikian besar, pada saya kata kunci adalah inovatif. Inovatif, idea dan kreativiti itu kena ada untuk mendapatkan pasaran luar biasa dari luar negara yang sangat besar," jelas beliau, yang juga penerima Hadiah Antarabangsa Raja Faisal tahun lalu.

Yang jelas, program 'Masterclass' seperti ini bukan sahaja dapat menambah nilai kepada ilmu para usahawan SME tetapi juga menggalak rangkaian kerjasama bagi menebarkan sayap ke luar negara. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan