Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pemerintah India siasat kes yang difailkan agensi terhadap Tony Fernandes

CBI mendakwa, Encik Fernandes dan yang lain, melobi pegawai India untuk menukar dasar yang mengawal operasi antarabangsa terhadap syarikat penerbangan berpangkalan di India.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah India siasat kes yang difailkan agensi terhadap Tony Fernandes

CEO Air Asia Tony Fernandes. (Gambar: Petikan skrin video Facebook/Tony Fernandes)

Diterbitkan : 30 May 2018 08:30AM Dikemas Kini : 30 May 2018 08:33AM

NEW DELHI: Biro Siasatan Pusat (CBI) India, memfailkan kes terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes, berhubung dakwaan pelanggaran peraturan dalam mendapatkan permit penerbangan antarabangsa, lapor media India.

CBI mendakwa, Encik Fernandes dan yang lain, melobi pegawai India untuk menukar dasar yang mengawal operasi antarabangsa terhadap syarikat penerbangan berpangkalan di India, lapor agensi berita PTI semalam (29 Mei).

Menurut undang-undang India sebelum ini, syarikat penerbangan berpangkalan di India perlu melengkapkan sekurang-kurangnya lima tahun operasi dan memiliki 20 pesawat yang ditugaskan untuk pasaran domestik sebelum membuat penerbangan ke luar negara.

Ketua Kumpulan AirAsia itu didakwa mempengaruhi pegawai India untuk menyingkirkan peraturan 5/20, lapor PTI yang memetik agensi penyiasatan itu.

Pemerintah India sejak dua tahun lalu, menukar beberapa dasar untuk menarik pelaburan langsung asing dalam sektor penerbangan.

Pada 2016, pihak berkuasa menukar peraturan 5/20, yang tidak memerlukan syarikat penerbangan domestik untuk beroperasi lima tahun sebelum melancarkan perkhidmatan antarabangsa. Bagaimanapun, mereka masih perlu memiliki 20 pesawat untuk pasaran India.

Laporan media India tidak menyatakan secara khusus apakah pelanggaran yang dibuat Encik Fernandes dan yang lain termasuk pemilik Travel Food, Sunil Kapoor; Pengarah AirAsia, R. Venkatraman; perunding penerbangan, Deepak Talwar dan Pengarah syarikat yang berpangkalan di Singapura, SNR Trading, Rejendra Dubey.

AirAsia India, usaha sama antara Tata Sons Ltd dari India dan AirAsia Bhd, memulakan operasinya pada Jun 2014.

Dimiliki sebanyak 49 peratus oleh AirAsia Bhd, syarikat penerbangan berpangkalan di India itu memiliki 18 pesawat dan bercadang untuk terbang ke luar negara apabila ia memiliki dua lagi pesawat.

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan