Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pemerintah akan perkenal undang-undang baru berkenaan mesyuarat syarikat di tengah COVID-19

Pemerintah akan memperkenalkan undang-undang baru untuk memperjelas bagaimana mesyuarat dijalankan, menurut Kementerian Undang-Undang dan Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan media pada Selasa (31 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah akan perkenal undang-undang baru berkenaan mesyuarat syarikat di tengah COVID-19

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 31 Mar 2020 05:57PM Dikemas Kini : 31 Mar 2020 06:02PM

SINGAPURA: Pemerintah akan memperkenalkan undang-undang baru untuk memperjelas bagaimana mesyuarat dijalankan, menurut Kementerian Undang-Undang dan Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan media pada Selasa (31 Mac).

Kenyataan itu dikeluarkan menyusuli maklum balas para peniaga tentang bagaimana mereka harus mematuhi peraturan baru COVID-19 berhubung perhimpunan sambil juga bertindak mengikut peruntukan undang-undang berhubung mesyuarat.

Pihak berkuasa pada minggu lepas mengumumkan langkah-langkah yang lebih ketat untuk mengurangkan risiko penyebaran COVID-19, termasuk mengehadkan perhimpunan di luar sekolah dan tempat kerja kepada tidak lebih 10 orang. Peraturan itu mula berkuatkuasa Jumaat lepas.

"Kami sedar bahawa ada peruntukan tertentu dalam undang-undang bertulis dan instrumen undang-undang tertentu (seperti perlembagaan syarikat) yang memperuntukkan seseorang itu harus hadir dalam mesyuarat," kata kementerian undang-undang dan kewangan dalam kenyataan pada Selasa.

"Pemerintah sudah menerima maklum balas bahawa perniagaan tidak pasti bagaimana untuk mematuhi kedua-dua peruntukan dan peraturan itu."

Maka itu Pemerintah akan memperkenalkan undang-undang baru pada sidang Parlimen yang akan datang untuk menyediakan "kepastian undang-undang" mengenai isu ini.

Peruntukan yang diusulkan akan membolehkan pengaturan alternatif dibuat apabila kehadiran peribadi dalam mesyuarat diperuntukkan "dalam mana-mana undang-undang bertulis atau instrumen undang-undang".

Contoh mesyuarat sedemikian termasuk yang termaktub di bawah Akta Syarikat dan perlembagaan syarikat (contohnya mesyuarat agung tahunan), mesyuarat yang diadakan di bawah surat ikatan amanah, mesyuarat pemiutang dan mesyuarat yang diadakan di bawah peraturan kesatuan sekerja.

Di bawah peruntukan yang disarankan, mesyuarat yang diadakan pada atau selepas 27 Mac mengikut susunan alternatif akan dianggap memenuhi keperluan undang-undang yang berkaitan.

Jika diluluskan, peruntukan tersebut akan dikuatkuasakan "secepat mungkin", menurut kenyataan itu.

Sementara itu, pihak-pihak yang merancang untuk mengadakan mesyuarat dan yang tidak pasti bagaimana untuk mematuhi langkah-langkah jarak selamat sekarang harus merujuk kepada pengawal selia masing-masing untuk mendapatkan nasihat.

PANDUAN DIKEMAS KINI BAGI MESYUARAT PEMEGANG SAHAM

Menyusuli pengumuman kementerian-kementerian itu, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Penguasa Perakaunan dan Kawal Selia Korporat (ACRA) dan Kawal Selia Bursa Saham Singapura (SGX RegCo) mengeluarkan garis panduan yang dikemas kini bagi penganjuran mesyuarat agung.

Seperti yang diumumkan sebelum ini, mesyuarat agung tahunan boleh ditangguhkan sehingga selepas 30 April jika kriteria yang ditetapkan dipenuhi, kata ketiga-tiga badan tersebut.

Bagi yang memilih untuk meneruskan mesyuarat sebelum tarikh tersebut, badan-badan berkenaan menetapkan garis panduan yang dikemaskini mengenai bagaimana ia harus diadakan.

Ini termasuk membolehkan pemegang saham bertanya soalan, mengadakan mesyuarat secara siaran web "langsung" dan membenarkan pengundian proksi (wakil).


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan