Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pembukaan taman tema luar Genting ditangguhkan setahun

Pembukaan projek berbilion dolar taman tema luar baru di Genting Highlands sekali lagi ditangguhkan. Taman tersebut seharusnya mula dibuka pada suku ketiga tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Pembukaan taman tema luar Genting ditangguhkan setahun

Taman tema luar baru Genting Highlands masih belum siap dibina. (Gambar: Amir Yusof)

Diterbitkan : 30 May 2020 05:36PM Dikemas Kini : 30 May 2020 05:47PM

PETALING JAYA: Pembukaan projek berbilion dolar taman tema luar baru di Genting Highlands sekali lagi ditangguhkan. Taman tersebut seharusnya mula dibuka pada suku ketiga tahun ini.

Pihak pengurusan Genting Malaysia Bhd (GenM) dalam satu sesi taklimat pada minggu lalu menyatakan, taman tema luar itu sebaliknya akan mula dibuka pada suku ketiga 2021.

Projek tersebut pertama kali dikemukakan pada 2014 dan dijangka menelan kos RM5 bilion (S$1.63 bilion), lapor The Star.

Pembukaan awal taman di tapak seluas 26 ekar itu dikatakan akan menampilkan 20 permainan, termasuk empat daya tarikan yang menerapkan ciri-ciri permainan 'roller coaster'.

Namun, pihak pengurusan Genting menyatakan kerja-kerja binaan taman tersebut tergendala disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Disebabkan kerja-kerja binaan terjejas oleh PKP, syarikat sedang menetapkan garis masa baru bagi tarikh projek selesai dan dapat dibuka," menurut syarikat pengurusan tersebut tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Sebilangan pakar menyifatkan penangguhan selama lebih 12 bulan itu sebagai 'negatif terbesar' menyusuli kemerosotan hasil suku pertama Genting Group.

Genting Bhd, iaitu syarikat induk GenM, mengalami kerugian RM132.2 juta (S$43 juta) dalam suku pertama tahun ini berbanding keuntungan RM561.6 juta (S$182 juta) yang diraih pada tempoh sama tahun lalu.

Menurut The Star, kerugian itu antaranya disebabkan operasi-operasi kasino di merata dunia yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.

Genting menampung RM482.5 juta (S$157 juta) kerugian - hampir separuh daripadanya dialami anak syarikatnya, Gen M, yang memiliki dan mengendalikan taman tema di Genting Highlands, kasino di Britain dan sebilangan cawangan perjudian di Amerika Syarikat mahupun Bahamas. GenM menampung perbelanjaan kasino di Britain dan Amerika Syarikat, yang memburukkan lagi kedudukan fiskalnya.

The Star turut melaporkan, GenM mengalami kerugian RM418 juta (S$135 juta) pada suku pertama, dengan pendapatannya menjunam sebanyak 28 peratus kepada RM1.96 bilion (S$640 juta). Para pemerhati tidak menjangkakan syarikat itu akan mengisytiharkan sebarang dividen pada tahun ini.

Perbelanjaan kapital GenM juga merosot, selaras dengan penangguhan pembukaan taman tema luarnya.  

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan