Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pelancong Muslim ke Jepun melonjak separuh pertama 2019, perluas peluang perniagaan halal

Semakin banyak kedai makan di Jepun menawarkan menu halal, seiring lonjakan jumlah pelancong beragama Islam pada separuh pertama tahun ini. Di wilayah Kochi selatan Jepun misalnya, ramai peniaga makanan merebut peluang mengembangkan perniagaan mereka dengan menawarkan menu atau makanan halal. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pelancong Muslim ke Jepun melonjak separuh pertama 2019, perluas peluang perniagaan halal
Diterbitkan : 07 Sep 2019 11:25PM Dikemas Kini : 08 Sep 2019 01:36AM

KOCHI: Semakin banyak kedai makan di Jepun menawarkan menu halal, seiring lonjakan jumlah pelancong beragama Islam pada separuh pertama tahun ini.

Pelancong dari Malaysia dan Indonesia membentuk kumpulan terbesar pelawat Muslim ke Jepun.

Di wilayah Kochi selatan Jepun misalnya, ramai peniaga makanan merebut peluang mengembangkan perniagaan mereka dengan menawarkan menu atau makanan halal.

KASIHANKAN PELANCONG MAKAN MI SEGERA, RESTORAN MULA TAWAR MENU HALAL

Restoran Resord Dining Se Relaxer yang sudah beroperasi selama 12 tahun, menawarkan sayur-sayuran dan daging segar tempatan. Namun sejak tahun lalu, pemiliknya mula menawarkan menu halal.

"Saya dengar orang Islam yang bercuti ke Jepun, disebabkan mereka tidak dapat makan makanan di sini, mereka terpaksa bawa mi segera sendiri," kata chef Takumi Yamamoto.

"Saya rasa bersalah. (Kerana) mereka sudah datang jauh-jauh ke Jepun. Saya ingin mereka nikmati juadah Jepun."

Beliau mengaku bahawa setakat ini, tidak ramai pelanggannya beragama Islam. Namun Encik Yamamoto berharap lebih ramai pelancong Muslim datang ke restorannya agar beliau dapat memperbaiki tawaran menu halal yang ditawarkan.

Jumlah pelancong asing ke Kochi pada 2016 adalah 73,000 orang atau sekitar 3 peratus daripada keseluruhan pelancong asing ke Jepun.

Wilayah tersebut dijangka boleh menambah jumlah pengunjung dengan menjadi lebih mesra Muslim.

Berdasarkan data pelancongan bagi tujuh bulan pertama tahun ini, jumlah pelancong Indonesia ke Jepun mencecah 241,000, manakala pelancong dari Malaysia pula mencapai 261,000 orang.

EKSPORT HALAL IMBANGI PERMINTAAN DOMESTIK MEROSOT

Perniagaan di Kochi bukan sekadar menyasarkan pelancong Muslim yang berkunjung ke Jepun. Akibat penduduk yang semakin menua, pasaran antarabangsa diharapkan dapat mengimbangi permintaan pasaran setempat yang semakin merosot.

"Kadar kelahiran di wilayah Kochi merosot lebih cepat berbanding kawasan lain di Jepun, manakala penduduknya semakin tua. Ekonomi kami semakin menguncup. Kochi perlu menjual produk-produknya kepada wilayah dan negara lain. Ia sebahagian usaha yang kami lakukan sejak 10 tahun lalu," dedah Penyelia Perancangan, Pejabat Pemerintah Wilayah Kochi, Norikazu Sawamura.

Bagi syarikat Kochi Ice misalnya, pihaknya mula memanfaatkan pasaran antarabangsa setelah mendapat sijil halal pada 2013.

"Memandangkan jumlah besar warga Islam di dunia, dan dengan permintaan pasaran Muslim, (sijil halal) boleh memperluaskan jangkauan pasaran kami," kata Presiden merangkap CEO syarikat pengeluar ais krim itu, Fumiya Hamamachi.

Buat masa ini 20 syarikat tempatan mengeksport produk mereka, kesemuanya bernilai sekitar AS$9.8 juta (S$13.54 juta).

Meskipun bilangan yang menawarkan produk halal agak sedikit, pemerintah wilayah berharap dapat mengembangkan pengeskport produk halal dengan mempertingkatkan sokongan perniagaan. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan