Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pelan induk baru Sungei Kadut dilancarkan

Salah sebuah estet perindustrian paling tua di negara ini bakal menjalani pembaharuan besar-besaran. Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing mengumumkan pelan induk baru bagi Sungei Kadut hari ini (6 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Pelan induk baru Sungei Kadut dilancarkan

(Gambar: Facebook/Chan Chun Sing)

Diterbitkan : 06 Feb 2020 08:35PM Dikemas Kini : 06 Feb 2020 08:41PM

SINGAPURA: Salah sebuah estet perindustrian paling tua di negara ini bakal menjalani pembaharuan besar-besaran.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing mengumumkan pelan induk baru bagi Sungei Kadut hari ini (6 Feb).

Semasa melancarkan pameran pelan itu, Encik Chan berkata perubahan berkenaan akan mengambil kira sektor pertumbuhan baru bagi mewujudkan pekerjaan "lebih bermutu" buat rakyat Singapura.

Pelan induk itu juga akan mengumpulkan syarikat-syarikat daripada industri yang sama dalam satu kelompok supaya sumber-sumber dapat dikongsi.

Encik Chan menambah bahawa kemahiran yang dipelajari daripada proses perubahan estet sebegini akan menjadi lebih berharga.

"JTC bersama dengan sektor hartanah, perancang dan seni bina akan membangunkan kemampuan dalam mereka ruang yang boleh menyesuaikan diri kepada trend perubahan pengilangan yang berubah-ubah dan berdaya tahan kepada perubahan iklim," kata Encik Chan.

PEMANDANGAN KILANG LUSUH AKAN BERUBAH

Kilang-kilang yang luas, sepi dan nampak lusuh adalah pemandangan biasa di Sungei Kadut. Estet perindustrian lama ITU menempatkan firma-firma daripada perdagangan kayu jati, binaan, perabot dan pengurusan sisa.

Namun dengan pelan induk baru JTC, Sungei Kadut bakal berwajah baru dalam 30 tahun akan datang.

Pelan bagi kawasan Eko Sungei Kadut adalah untuk mengubah industri-industri sedia ada dan memberi ruang kepada bidang "pertumbuhan baru" seperti pertanian dan teknologi sekitaran.

Kawasan di utara Singapura seluas 500 hektar atau sekitar 70 padang bola sepak itu akan terbahagi kepada empat zon termasuk Taman Inovasi Agro-Makanan (AFIP).

Satu lagi adalah kemudahan kitar semula bertingkat pertama negara, Kranji Green, yang bakal siap tahun depan.

Industri kayu jati dan binaan akan dikelompokkan berhampiran untuk memanfaatkan penggunaan bahan dan sisa dihasilkan.

Berhampiran pula, AFIP yang seluas 18 hektar akan menempatkan kegiatan R&D dan kebun berteknologi canggih seperti pertanian dalam bangunan dan penternakan kehidupan laut yang akan dibuka bertahap-tahap pada tahun depan.

Ini adalah sebahagian daripada usaha negara untuk menghasilkan 30 peratus bekalan makanan menjelang 2030 dan menjadi negara yang sifar sisa.

Sementara itu, zon tengah akan menjadi hab bagi industri seperti pengilangan perabot dan juga terdapat sebuah stesen MRT menjelang pertengahan 2030.

Akan juga terdapat kemudahan restoran, hiburan, rekreasi dan tempat tinggal di tepi pesisiran.

Di kawasan selatan pula, terdapat ruang kongsi untuk tinggal dan bekerja serta penghubung taman dan jejak biodiversiti.

Sumber : CNA/RU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan