Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pelajar berkeperluan khas Lubnan mahir buat roti Jerman

Sejak usia remaja lagi, Ali Kerdi yang terencat daya pertuturan dan pendengaran akan memperhatikan ibunya semasa beliau menguli dan membakar roti.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelajar berkeperluan khas Lubnan mahir buat roti Jerman

Para pelajar berkeperluan khas di sebuah kedai roti di Tyre, Lubnan. (Gambar-Gambar: Ali Hashisho/Reuters)

Diterbitkan : 18 Jan 2019 11:19AM Dikemas Kini : 18 Jan 2019 11:33AM

LUBNAN: Sejak usia remaja lagi, Ali Kerdi yang terencat daya pertuturan dan pendengaran akan memperhatikan ibunya semasa beliau menguli dan membakar roti.

Beberapa tahun kemudian, beliau pula yang melakukannya semasa bertugas sebagai seorang pekerja pembersihan di bahagian selatan Lubnan. Tempat kerjanya itu adalah sebuah pusat yang mengajar golongan kurang upaya cara-cara bagaimana untuk membuat roti Jerman iaitu sejenis roti rai.

Kini pada usia 35 tahun, Kerdi bertanggungjawab menguruskan sebuah kedai roti bersama dua kakitangan kurang upaya.

“Pada awalnya, mereka ingin mengajar saya bagaimana untuk menjahit dan kemudian, seni pertukangan kayu, namun saya tetap memerhatikan mereka semasa saya sedang melakukan tugas saya. Jika saya menyentuh doh itu, mereka akan menyuruh saya pergi dari tempat itu,” kata Kerdi, yang tidak pernah berputus asa untuk belajar bagaimana untuk membakar roti.

Ali Kerdi, 35, melatih para pelajar berkeperluan khas di sebuah kedai roti di Tyre, Lubnan. (Gambar-Gambar: Ali Hashisho/Reuters)

(Gambar Ali Kerdi melatih pelajar berkeperluan khas di sebuah kedai roti di Tyre.)

Kedai roti itu, yang terletak di tingkat bawah Pusat Mosan bagi para pelajar berkeperluan khas, mula beroperasi pada 2013 selepas sebuah badan amal Jerman – Bread Against Misery – mendermakan perkakas membakar roti dari Jerman.

Selama tiga bulan, tiga pembuat roti rakyat Jerman mengajar para kakitangan bagaimana untuk menggunakan perkakas tersebut serta menerangkan cara-cara membuat roti Jerman.

Kini, giliran Kerdi pula untuk melatih sekumpulan pelajar bagaimana untuk membuat pelbagai jenis roti Jerman, yang sebelum ini belum pernah diperkenalkan di bahagian selatan Lubnan.

“Tujuan utama projek ini adalah untuk melatih mereka bagaimana untuk membuat roti, dan bukan sebagai satu perniagaan,” kata Ali Charafeddine, Pengarah Pusat Mosan yang kini mempunyai 175 pelajar berkeperluan khas.

Bagaimanapun, kedai roti itu semakin popular dalam kalangan penduduk tempatan dan para ekspatriat. Roti-roti dan biskut juga disusun rapi di luar kedai itu untuk dijual.

Kerdi menyifatkan pengalamannya menguruskan sebuah kedai roti sebagai sesuatu yang membanggakan, selain dijadikan sumber mata pencarian untuk menyara kehidupan keluarganya. 

Sumber : Reuters/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan