Images
  • hyflux logo
    (Gambar: Jeremy Long)

Pelabur UAE Hyflux rancang bertemu pemegang saham runcit, minta PUB tangguh pengambilan Tuaspring

SINGAPURA: Syarikat kemudahan awam Amiriah Arab Bersatu, Utico, pada Khamis (16 Mei) mencadangkan agar sebuah mesyuarat besar diadakan untuk pelabur sekuriti kekal dan saham keutamaan Hyflux untuk menyusun "cadangan saling menguntungkan".

Dalam kenyataan yang diedarkan kepada pihak media, Utico menambah bahawa pihaknya juga sudah meminta agensi air negara PUB "agar menangguhkan pengambilalihan kilang penyulingan Tuaspring", yang dijadualkan berlangsung pada 18 Mei.

Bagaimanapun, PUB memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya tidak berganjak daripada pengambilalihan yang sudah dijadualkan.

MESYUARAT BESAR "DALAM BEBERAPA HARI"

Utico adalah syarikat yang berminat menjadi firma wira yang pada bulan lalu menunjukkan hasrat melaburkan S$400 juta ke dalam syarikat Hyflux yang bermasalah.

Pada hujung minggu lalu, Reuters melaporkan bahawa Utico sudah menyerahkan kertas syarat yang mengikat bagi cadangan pelaburannya namun Hyflux menjelaskan pada Selasa bahawa pihaknya hanya menerima "draf kertas syarat".

Meskipun demikian, firma utiliti berpangkalan di UAE pada Khamis menyatakan bahawa pihaknya berharap untuk menganjurkan mesyuarat besar untuk pemegang sekuriti kekal dan saham keutamaan Hyflux - seramai 34,000 orang, dengan majoritinya adalah pelabur runcit - "dalam beberapa hari yang akan datang".

"Kami faham bahawa para pelabur Hyflux adalah orang yang paling teruk terjejas," kata ketua eksekutif Utico, Richard Menezes.

Menurutnya, Utico ingin menjadi pelabur yang mencari "penyelesaian yang adil dan pantas" dengan pemegang saham sekuriti dan saham keutamaan.

"Kami akan berbincang dan membentangkan cadangan yang kukuh selepas kami mendengar pandangan mereka. Hakikatnya adalah para pelabur ini tidak bercagar dan/atau mana-mana penebusan atau kupon mestilah suatu perjanjian yang saling menguntungkan, "kata CEO itu.

PUB TOLAK PERMINTAAN TANGGUH AMBIL ALIH TUASPRING

Kata Encik Menezes lagi, para pelabur runcit ini juga menyumbang kepada pembinaan Loji bersepadu Air dan Kuasa Tuaspring kerana dana yang diperoleh daripada bon kekal dan saham keutamaan Hyflux disalurkan ke projek ini.

Lantaran itu pihaknya berharap dapat menangguhkan pengambilalihan PUB ke atas Tuaspring dan sudah membuat permintaan kepada agensi air negara itu pada Rabu.

"Hyflux maklum (tentang permintaan itu)," Utico memberitahu Mediacorp.

Dengan berbuat demikian, ia berharap dapat mencapai urus niaga dengan Hyflux, "yang akan menawarkan langkah pemulihan dan pembetulan bagi loji itu bersesuaian dengan ketepatan PUB".

Ia menambah pihaknya faham akan status Tuaspring sebagai "aset strategik" dan "bersedia untuk bekerja dengan Hyflux untuk memastikan ia berfungsi tanpa menjejaskan aspek keselamatan".

Pengambilalihan yang dijadual menyusuli notis PUB kepada Hyflux bulan lalu bahawa pihaknya akan menamatkan perjanjian pembelian air dan mengambil alih kilang penyulingan Tuaspring pada harga sifar dolar. Notis tamat perjanjian memperuntukkan tempoh notis 30 hari, yang akan berakhir pada 17 Mei dan membuka jalan bagi pengambilalihan pada keesokan harinya.

Semasa menjawab pertanyaan Mediacorp, PUB menyatakan: "Kami tidak berganjak daripada pengumuman yang sudah dibuat mengenai PUB mengambil alih Loji Penyulingan Tuaspring." 

- CNA/TQ/tq

Top