Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pekerja perlu fleksibel dan perlu tajamkan pelbagai kemahiran untuk kekal berdaya kerja

Golongan pekerja masa kini perlu bersikap lebih fleksibel serta menajamkan pelbagai kemahiran sampingan dengan menyertai kursus-kursus teknikal - termasuk kepandaian menyediakan 'resume' yang menarik. Demikian gesaan Mendaki SENSE kepada para pekerja Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Golongan pekerja masa kini perlu bersikap lebih fleksibel serta menajamkan pelbagai kemahiran sampingan dengan menyertai kursus-kursus teknikal - termasuk kepandaian menyediakan 'resume' yang menarik.

Demikian gesaan Mendaki SENSE kepada para pekerja Melayu.

Jika anda perlukan bantuan seperti itu atau sedang mencari kerja, ayuh datang ke acara Skills For Future Jobs (Kemahiran bagi Pekerjaan Masa Depan) pada hujung minggu ini (27 Jul).

Acara itu dianjurkan BERITAmediacorp dengan kerjasama Mendaki SENSE.

KEMAHIRAN LAMA MUNGKIN KURANG PENTING SEKARANG

Awal bulan lalu Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mendedahkan jumlah mereka yang diberhentikan kerja pada suku pertama tahun ini naik kepada lebih 3,200 orang berbanding sekitar 2,500 orang pada suku sebelumnya.

Sektor pengilangan misalnya mencatat kenaikan hampir tiga kali ganda kehilangan pekerjaan.

Di tengah-tengah perkembangan ini, para pekerja perlu memastikan mereka kekal relevan dengan perubahan landskap ekonomi demi kekal berdaya kerja.

Demikian nasihat Pengarah Eksekutif Mendaki SENSE Encik Mohamad Faiz Selamat.

"Kita melihat dari segi kemahiran yang dulu kita akui sebagai penting, yang menambah nilai, sekarang mungkin kurang, kurang penting atau kurang diperlukan oleh syarikat-syarikat. Jadi kita harus selalu berani untuk mencuba sesuatu yang baru dan berani untuk mempelajari sesuatu yang baru," kata beliau.

Beliau juga menambah bahawa golongan pekerja masa kini perlu mempunyai pemikiran yang terbuka. Ini kerana rentak ekonomi pada zaman ini membuat perusahaan-perusahaan sentiasa mengubah ciri-ciri dalam mencari bakat-bakat baru.

Perkara itu dapat dilihat dengan terdapat sekitar 60,000 kerja kosong seperti yang dikongsikan Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo.

Kerja-kerja kosong berkenaan adalah dari sektor perkhidmatan kewangan, perkhidmatan karyawan dan teknologi infokom.

TAJAMKAN KEMAHIRAN DALAM PELBAGAI ASPEK, ANTARANYA TULIS CV, 'RESUME'

Maka itu, Encik Faiz menasihati para pekerja atau pencari kerja agar mengambil peluang untuk menceburi bidang-bidang berkembang itu.

Ini boleh dilakukan dengan menajamkan kemahiran mereka dalam beberapa aspek, termasuk dalam penyediaan keterangan diri dan kerjaya, iaitu CV atau 'resume'.

"Salah satu kesalahan yang lazim mereka lakukan adalah mereka mempunyai satu resume dan mereka hantar kepada 50 orang. Jika resume itu sama, seorang majikan akan melihatnya seperti satu yang tidak sesuai dengan pekerjaan yang ada," kongsi Encik Faiz.

Poster acara 'Skills for Future Jobs' anjran bersama BERITAmediacorp dan SENSE.

Jika anda mahu mendalami kemahiran menulis CV atau resume, anda boleh datang ke acara Skills for Future Jobs anjuran BERITAmediacorp dengan kerjasama Mendaki SENSE Sabtu ini (27 Jul) di Marina Bay Sands.

Di acara itu juga anda berpeluang meneroka 750 kerja kosong, meluaskan rangkaian kerjaya serta meneroka peluang-peluang peningkatan kemahiran.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan