Images
  • china walk
    (Gambar: Sean Gallup/Getty Images)

Pekerja didenda gagal jalan 180,000 langkah sebulan

GUANGZHOU: Sebuah syarikat di China dikecam kerana mendenda para pekerjanya yang tidak mencapai sasaran berjalan kaki sekurang-kurangnya 180,000 langkah setiap bulan.

Menurut Information Times, para pekerja sebuah syarikat hartanah di bahagian selatan Guangzhou didenda 0.01 yuan (0.1 sen) bagi setiap langkah yang kurang dari sasaran 180,000 langkah itu.

Salah seorang kakitangan, yang hanya dikenal pasti sebagai 'Little C', memberitahu akhbar itu bahawa dengan para pekerja sering kerja lembur, amat sukar bagi mereka untuk mencatat sekurang-kurangnya 6,000 langkah setiap hari di luar waktu kerja.

"Saya faham bahawa syarikat mahu mendorong kami agar lebih banyak bersenam," kata beliau, "tetapi saya sendiri bahkan tidak mempunyai cukup masa untuk tidur kerana perlu mencapai sasaran berjalan kaki itu."

Liu Fengmao, seorang wakil sebuah syarikat undang-undang tempatan, berkata bahawa syarikat berkenaan tidak mempunyai sebarang dasar undang-undang untuk menjadikan jumlah langkah kaki kakitangan sebagai mengukur prestasi mereka. Malah, beliau berkata peraturan seumpama itu boleh mewujudkan lebih banyak masalah bagi para majikan.

Menurut Encik Liu, para pekerja boleh mendakwa aktiviti berjalan kaki di luar waktu kerja sebagai satu bentuk kerja lembur. Mereka mungkin juga menjadikan kecederaan yang dialami semasa berjalan kaki sebagai insiden kemalangan di tempat kerja.

Akhbar Information Times menyatakan bahawa ini bukanlah kes pertama di mana sesebuah syarikat memperkenalkan peraturan berjalan di tempat kerja.

Pada Januari 2017, sebuah syarikat teknologi di Chongqing di barat daya China dikritik kerana menggesa kakitangannya berjalan 10,000 langkah setiap hari. Menurut akhbar Chongqing Evening Post, syarikat tersebut menggunakan hal itu sebagai satu kriteria untuk menilai prestasi kakitangan.

Ramai pembaca blog Sina Weibo melahirkan rasa bingung terhadap peraturan tersebut, tetapi ada juga yang langsung mengkritiknya.

"Syarikat itu hanya mencari alasan untuk memotong gaji pekerja," ujar salah seorang pembaca.

Meski demikian, sesetengah pembaca menganggap peraturan sedemikian ada manfaatnya, dengan seorang pembaca berkata: "Maanfaatnya adalah anda akan menjadi sihat!"

- Agensi berita/AI/ai

Top