Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

PayNow S'pura bakal dihubungkan dengan UPI India pada 2022

PayNow Singapura dan Unified Payments Interface (UPI) India akan dihubungkan menjelang Julai 2022 lantas, membolehkan pengguna untuk membuat pemindahan wang "segera dan pada kos rendah" secara langsung antara akaun-akaun bank di kedua-dua negara.

Anggaran Waktu Membaca:
PayNow S'pura bakal dihubungkan dengan UPI India pada 2022

Gambar fail: Gaya Chandramohan

Diterbitkan : 14 Sep 2021 03:23PM Dikemas Kini : 15 Sep 2021 09:45PM

SINGAPURA: PayNow Singapura dan Unified Payments Interface (UPI) India akan dihubungkan menjelang Julai 2022 lantas, membolehkan pengguna untuk membuat pemindahan wang "segera dan pada kos rendah" secara langsung antara akaun-akaun bank di kedua-dua negara.

Penghubungan sistem pembayaran masa nyata yang dirancang itu diumumkan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Bank Rizab India hari ini (14 Sep).

Dengan penghubungan itu, pemindahan wang boleh dilakukan dari India ke Singapura dengan menggunakan nombor telefon bimbit, menurut MAS.

Dari Singapura ke India pula, pemindahan wang boleh dibuat menggunakan alamat pembayaran maya UPI. Pengalaman itu serupa dengan pemindahan dalam negeri ke alamat pembayaran maya PayNow, menurutnya lagi.

Penghubungan sistem pembayaran itu akan mengurangkan kos dan ketidakcekapan pengiriman wang antara Singapura dengan India. Ia akan memberi manfaat kepada orang ramai dan perniagaan yang bergantung kepada mod pembayaran tersebut, kata ketua pegawai teknologi kewangan MAS, Sopnendu Mohanty.

MAS menyatakan penghubung itu akan menyediakan peruntukan jumlah pengiriman wang yang lebih tinggi, penyertaan oleh pelbagai entiti, automasi peraturan kawalan modal dan "format pesanan yang diperkaya untuk memenuhi inovasi masa depan oleh peserta hubungan".

Terdapat satu peningkatan ketara pada reka bentuk sistem pembayaran rentas sempadan sedia ada, menurut MAS.

MAS menyifatkan ketersambungan itu sebagai satu "peristiwa penting yang besar" dalam pembangunan prasaran generasi selanjutnya bagi pembayaran rentas sempadan antara Singapura dengan India.

Ia juga "amat selaras" dengan keutamaan penyertaan kewangan kumpulan negara ekonomi besar (G20) untuk memacu pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, murah dan telus.

Penghubungan PayNow-UPI akan terus menambat "aliran perdagangan, perjalanan dan pengiriman wang yang besar" antara Singapura dengan India, tambah bank pusat itu.

Pada April, PayNow Singapura dan PrompPay Thailand juga dihubungkan dalam satu sistem pembayaran rentas sempadan.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/FZ/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan