Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pasukan bertindak baru bantu karyawan, pengurus dan eksekutif berisiko harungi COVID-19

Sebuah pasukan bertindak baru dibentuk untuk membantu golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) yang berisiko, khususnya mereka berusia 40 hingga 60 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan bertindak baru bantu karyawan, pengurus dan eksekutif berisiko harungi COVID-19

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 27 Oct 2020 05:33PM Dikemas Kini : 28 Oct 2020 12:55AM

SINGAPURA: Sebuah pasukan bertindak baru dibentuk untuk membantu golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) yang berisiko, khususnya mereka berusia 40 hingga 60 tahun.

Hal ini diumumkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Nasional Singapura (SNEF) pada Selasa (27 Okt), dua bulan selepas idea itu pertama kali dikemukakan oleh setiausaha agung NTUC, Ng Chee Meng pada Ogos.

Encik Ng menggariskan bidang-bidang tumpuan utama pasukan bertindak itu semasa menyampaikan ucaptama di Persidangan Kajian Buruh pada Selasa.

Ini termasuk meningkatkan kebolehgajian PME dan mengurangkan risiko pemberhentian pekerja; menggalak majikan untuk mengekalkan dan membina keupayaan bagi transformasi tenaga kerja dan perniagaan, serta pemulihan ekonomi; dan mengupayakan PME menerusi peningkatan kemahiran dan penguasaan kemahiran baru.

Diterajui bersama oleh penolong setiausaha agung NTUC, Patrick Tay dan pengarah eksekutif SNEF, Sim Gim Guan, pasukan bertindak itu terdiri daripada wakil kesatuan dan industri dari sektor perindustrian, perkhidmatan dan awam.

"Saya tahu golongan PME, terutama dalam lingkungan usia 40 hingga 60 tahun, sangat terjejas oleh ekonomi yang lemah. Pasukan Bertindak PME akan berusaha untuk membantu golongan PME ini," kata Encik Ng.

AKSES KEPADA PEKERJAAN BAIK

Pasukan bertindak itu bermatlamat untuk membantu PME yang "lebih berisiko disebabkan transformasi ekonomi dan gangguan digital", kata SNEF dan NTUC dalam satu kenyataan media bersama.

Pandemik COVID-19 telah melumpuhkan ekonomi Singapura, mendedahkan pekerjaan kepada risiko dan menyebabkan jumlah pemberhentian pekerja meningkat.

PMET membentuk 50.8 peratus daripada jumlah pemberhentian pekerja tempatan pada suku kedua tahun ini, menurut laporan pasaran buruh Kementerian Tenaga Manusia (MOM). Kadar penyertaan semula dalam pasaran pekerjaan setelah diberhentikan juga merosot kepada 55.5 peratus pada suku kedua, berbanding 61.6 peratus pada suku sebelumnya.

"Berlatarkan hal ini, kita perlu memastikan PME kita dilindungi secukupnya, mempunyai akses kepada pekerjaan yang baik dan dilengkapi dengan kemahiran yang relevan, agar mereka dapat berkembang dalam kelaziman baru ini," tambahnya.

KEBIMBANGAN UTAMA

Sepanjang enam bulan akan datang, pasukan bertindak akan mendampingi dan melibatkan PME dan majikan dari pelbagai segmen melalui satu siri tinjauan, serta perbincangan dan acara kumpulan fokus, kata NTUC dan SNEF.

Ini akan membolehkan pasukan bertindak mengenal pasti keprihatinan utama PME dan keperluan kumpulan yang berbeza-beza, mengumpulkan maklum balas dari majikan mengenai kemungkinan jurang kemahiran dalam tenaga kerja, serta bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah untuk mengkaji semula dasar-dasar yang menjejas PME.

Kajian juga dilakukan untuk memahami dengan lebih baik trend masa depan, dengan matlamat golongan PME akan bersedia memanfaatkan peluang masa depan, menurut kenyataan itu.

Pasukan bertindak ini kemudian akan memberikan saranan mengenai dasar-dasar pemerintah, amalan sumber manusia terbaik untuk syarikat dan latihan PME menjelang Hari Buruh tahun depan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan