Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Parlimen Eropah luluskan perdagangan bebas EU-S'pura, perjanjian kerjasama

Tiga perjanjian penting antara Singapura dengan Kesatuan Eropah mendapat kelulusan selepas satu undian di Strasbourg, Perancis pada Rabu (13 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen Eropah luluskan perdagangan bebas EU-S'pura, perjanjian kerjasama

Pemeteraian EUSFTA, SEPCA dan EUSIPA pada Oktober lalu. (Gambar: MCI melalui Vivian Balakrishnan/Facebook)

Diterbitkan : 13 Feb 2019 11:51PM Dikemas Kini : 13 Feb 2019 11:54PM

SINGAPURA: Tiga perjanjian penting antara Singapura dengan Kesatuan Eropah mendapat kelulusan selepas satu undian di Strasbourg, Perancis pada Rabu (13 Feb).

Parlimen Eropah mempersetujui Perjanjian Perdagangan Bebas EU-Singapura (EUSFTA), Perjanjian Perlindungan Pelaburan EU-Singapura (EUSIPA) dan Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama EU-Singapura (ESPCA) menyusuli satu undian.

EUSFTA dan EUSIPA adalah perjanjian pertama perdagangan dan pelaburan yang dimuktamadkan EU dengan sesebuah anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam kenyataannya hari ini (13 Feb).

Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan dalam catatan Facebooknya berkata bahawa ESPCA saling melengkapi dua perjanjian lain kerana ia menjadi landasan untuk "memperluaskan kerjasama" dalam bidang-bidang seperti pendidikan, pengangkutan, khidmat udara serta sains dan teknologi.

Menyusuli persetujuan daripada Parlimen Eropah, kedua-dua EU dan Singapura akan menjalankan "proses pentadbiran dalaman masing-masing" bagi membolehkan EUSFTA berkuat kuasa secepat mungkin, menurut MTI.

EUSIPA di bawah proses-proses EU akan dikirimkan kepada parlimen negara-negara anggota EU sebelum ia dikuatkuasakan.

Menyifatkannya sebagai "pencapaian penting" dalam hubungan dua hala bersama EU, Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, S Iswaran, berkata bahawa kedua-dua perjanjian perdagangan dan pelaburan (EUSFTA dan EUSIPA) akan membawa manfaat strategik dan ekonomi kepada kedua-dua pihak.

EUSFTA akan memansuhkan cukai dan memudahkan akses para peniaga dalam pelbagai sektor, terutama sekali syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME), kepada pasaran antarabangsa.

Singapura akan memansuhkan cukai bagi semua barangan EU yang memasuki Singapura, sementara EU pula akan memansuhkan cukai bagi 84 peratus produk Singapura pada tahun pertama, dengan baki 16 peratus dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

EU merupakan rakan dagang ketiga terbesar Singapura, dengan perdagangan dua hala bagi barangan melebihi S$114 bilion pada 2018.

Singapura juga merupakan rakan dagang terbesar EU di ASEAN, dengan lebih 10,000 syarikat EU bertapak di sini bagi memenuhi permintaan di rantau Pasifik.

Pada 2018, eksport keseluruhan Singapura ke EU adalah sekitar S$49 bilion, sementara import dari EU berjumlah sekitar S$65 bilion.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan