Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Parlimen Australia luluskan kod bagi tetapkan bayaran kandungan berita

Kod itu akan disemak semula dalam tempoh setahun, menurut Bendahari Josh Frydenberg dan Menteri Komunikasi Paul Fletcher dalam satu kenyataan bersama.

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen Australia luluskan kod bagi tetapkan bayaran kandungan berita

Gambar fail logo Facebook berlatarkan bendera Australia. (Gambar: REUTERS/Dado Ruvic/Illustration)

Diterbitkan : 25 Feb 2021 01:49PM Dikemas Kini : 25 Feb 2021 01:52PM

SYDNEY: Parlimen Australia hari ini (25 Feb) meluluskan kod tawar-menawar wajib bagi syarikat media dan platform digital yang mewajibkan Google Alphabet Inc dan Facebook Inc membayar syarikat-syarikat media tempatan mengongsi isi kandungannya.

Kod itu akan disemak semula dalam tempoh setahun, menurut Bendahari Josh Frydenberg dan Menteri Komunikasi Paul Fletcher dalam satu kenyataan bersama.

"Kod itu akan memastikan syarikat-syarikat media dibayar dengan adil bagi kandungan yang diterbitkan, membantu menegakkan bidang kewartawanan yang mendahulukan kepentingan awam di Australia," kata mereka.

Kod itu, yang dibangunkan selepas analisis mendalam daripada perundangan anti kepercayaan dan hampir tiga tahun perundingan awam, mungkin akan mendorong negara-negara seperti Britain dan Kanada untuk merancang menggubal undang-undang serupa dan berbuat demikian.

Negara-negara lain sudah memperkenalkan undang-undang yang memaksa syarikat-syarikat teknologi besar supaya berunding dengan syarikat-syarikat media dari segi yuran pelesenan bagi pautan yang memikat pembaca dan menjana pendapatan iklan untuk platform mereka.

Kod baru itu menjadikan Australia negara pertama di mana penimbang tara pemerintah akan menetapkan pampasan yang perlu dibayar gergasi teknologi jika rundingan dengan syarikat-syarikat media menemui jalan buntu.

Encik Frydenberg dan Encik Fletcher mengatakan pemerintah gembira melihat "kemajuan yang dicapai oleh Google dan yang terbaru Facebook" dalam mempersetujui aturan komersil tersebut dengan syarikat-syarikat media Australia.

Minggu lalu, Facebook menyekat kandungan berita Australia di tengah-tengah rundingan yang sengit dengan pemerintah.

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan