Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Para peniaga Melayu ini lawan arus ekonomi; buka cawangan baru semasa COVID-19

Perangkaan pemerintah menunjukkan, sekitar 18,800 perniagaan gulung tikar dalam lima bulan pertama tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perangkaan pemerintah menunjukkan, sekitar 18,800 perniagaan gulung tikar dalam lima bulan pertama tahun ini.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) bulan lalu juga sudahpun menyatakan, pada bulan-bulan mendatang, lebih banyak lagi perniagaan dijangka tutup kedai.

Namun demikian, masih ada peniaga Melayu yang nampaknya melawan arus dan sebaliknya membuka cawangan baru semasa musim COVID-19 ini.

LAKAR RANCANGAN KESINAMBUNGAN PERNIAGAAN

Sedang banyak perniagaan kini mengurangkan kos bagi menangani kerugian dek pandemik COVID-19, nampaknya tidak begitu bagi Eri Su Salon.

Salon tersebut baru dibuka awal bulan ini di 13 Bali Lane bermodalkan pelaburan sekitar S$200,000.

(Gambar: Jai Wahab)

Dimiliki bersama oleh pendandan rambut Eri Su dan peniaga berpengalaman Jai Wahab, mereka yakin ada formula untuk memastikan perniagaan itu dapat bertahan.

"Kerana kita sudah mempunyai pangkalan data pelanggan yang sihat, bila pembukaan itu, banyak temu janji yang kami terima.

"Walaupun banyak perniagaan tutup dalam COVID-19 ini, tapi kerana kami sudah ada rancangan kesinambungan perniagaan di mana ia merangkumi perancangan untuk risiko-risiko dalam perniagaan seperti dalam penjualan atau pemasaran dan juga tenaga kerja," kata Jai, yang turut memiliki salon wanita Karva.

Dalam erti kata lain, kedua-dua peniaga ini sudah menyediakan "modal yang sihat" untuk menampung kos tenaga kerja bagi mengharungi perniagaan yang lembap.

KHIDMAT BERMUTU, WARNA MENARIK

Menurut Eri Su Salon, satu lagi 'senjata' untuknya terus bertakat, ialah dengan menawarkan khidmat bermutu serta khidmat pewarnaan rambut yang kurang terdapat di Singapura.

(Gambar: Jai Wahab)

"Kami di Eri Su Salon mengambil masa untuk mendengar dan memahami mereka supaya saya dapat memberi saranan agar mereka berasa konfiden dan tampak berseri," ujar Eri Su, yang mempunyai 12 tahun pengalaman dalam bidang dandanan rambut.

Jai menambah: "Mereka yang datang (akan) mendapatkan stail terkini atau warna yang menarik yang mungkin di persada dunia sudah ada, tapi di Singapura belum ada lagi. Jadi memang kita ikut trend terkini, jadi Eri selalu cuba mendapatkan hasil dan stail yang memuaskan hati pelanggan kami."

BUKA CAWANGAN SELEPAS 6 TAHUN BERNIAGA

Satu lagi perniagaan yang baru dibuka di kawasan Kampong Gelam minggu lalu ialah kedai minuman BROTI.

Jenama tersebut terkenal dengan minuman 'Thai Milk Tea' dan ia adalah cawangannya yang pertama selepas enam tahun menyertai pelbagai acara dan pasar malam.

Jadi, apa motivasi mereka membuka kedai sedangkan ekonomi negara dijangka terus merudum?

(Gambar: BERITAmediacorp)

Pemilik BROTI, Syed Uzair Syed Abu Bakar berkongsi: "Modal dalam S$50,000 hingga S$70,000, jadi itu risiko kita sekarang untuk cuba membuka kedai ini.

"Kita membuka kedai di Kampong Gelam kerana kita rasa kunjungan masyarakat Melayu di sini agak ramai, jadi kita ingin memperluaskan dampingan kita kepada pelanggan."

RANCANG PERLUASKAN JENAMA

Malah, idea untuk membuka cawangan BROTI itu hanya tercetus pada pertengahan bulan Jun - sekitar sebulan lalu.

Walaupun kedai di 21 Baghdad Street itu baru berusia lima hari, Syed Uzair berkata beliau sudah sedia mengembangkan perniagaannya jika BROTI terus mendapat sokongan pelanggan.

(Gambar: BROTI/Instagram)

"Jika sambutannya memberangsangkan, kita ingin cuba buka di kawasan kejiranan, jadi lagi senang untuk pelanggan kita mendapat jenama kita," kata pemilik berusia 28 tahun itu.

Yang pasti, kedua-dua peniaga di BROTI dan Eri Su Salon sedar memang tidak mudah berniaga dalam iklim ekonomi sekarang, namun mereka juga percaya seseorang peniaga harus terus bersikap positif. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan