Images
  • pakistan international airliens
    (Gambar: AFP)

Pakistan International Airlines ambil tindakan keras terhadap anak kapal 'gemuk'

ISLAMABAD: Anak kapal syarikat penerbangan Pakistan International Airlines (PIA) berdepan tindakan dilarang terbang jika mereka terlalu gemuk.

Hal mengejutkan itu didedahkan selepas PIA mengirimkan memo kepada sekitar 1,800 kru kabinnya.

Menurut memo itu lagi, kerjaya kakitangan terbabit mungkin terjejas sekiranya gagal mencapai berat badan ideal dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Arahan yang dikeluarkan pada 1 Januari 2019 oleh Aamir Bashir, Pengurus Besar Perkhidmatan Penerbangan PIA berbunyi: “Jika berat badan mana-mana kru didapati melebihi 13 kilogram daripada had yang ditetapkan selepas 31 Jan 2019, mereka tidak akan dibenarkan terbang,"

Arahan itu menyarankan kakitangan kabin terbabit menurunkan berat badan sebanyak 2.5 kilogram setiap bulan.

Agensi berita CNN melaporkan bahawa buat masa ini, anak kapal dengan berat badan mereka melebihi 13.6 kilogram masih dibenarkan untuk menjalankan tugas khidmat penerbangan.

PIA juga mengeluarkan panduan berat badan ideal yang disarankan mengikut ketinggian dan jenis tubuh kakitangan. Misalnya bagi wanita dengan "jenis tubuh sederhana" dan tinggi 1.7 meter, mereka disarankan mempunyai berat badan antara 60 hingga 67 kilogram.

"Pemeriksaan berat badan bagi semua anak kapal akan dilakukan secara komprehensif di stesen pangkalan masing-masing dan data mereka disimpan untuk kegunaan pihak pengurusan," menurut makluman itu seperti yang dilihat oleh CNN.

KURUS, BIJAK DAN SIHAT

Sekitar 100 atau lima peratus anak kapal perlu mengurangkan berat badan mereka sebelum 1 Julai untuk elak daripada tidak dibenarkan terbang.

Encik Tajwar menyifatkan tindakan keras terhadap anak kapal dengan berat badan berlebihan sebagai satu 'perkara biasa'. Beliau juga membayangkan bahawa makluman itu dikeluarkan kerana piawai bagi berat badan semakin merosot. Menurut Encik Tajwar, ia juga dikeluarkan bagi memastikan para anak kapal 'kurus, bijak dan sihat'.

Beliau menambah bahawa inisiatif itu dikuatkuasakan atas sebab-sebab penampilan dan kesihatan, sambil menekankan bahawa PIA bukan satu-satunya syarikat penerbangan yang mengambil tindakan terhadap anak kapalnya untuk mencapai berat badan yang disasarkan.

Pada 2015, Air India melarang 130 anggota kabinnya terbang kerana mereka dianggap 'kelebihan berat badan'.

- Agensi berita/AI/ai

Top