Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Pakar ekonomi kekalkan ramalan pertumbuhan 3.2% bagi S'pura: MAS

Para pakar ekonomi sektor privet mengekalkan ramalan bagi pertumbuhan ekonomi Singapura tahun ini pada kadar 3.2 peratus, menurut tinjauan terkini suku tahun Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Rabu (5 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Sep 2018 02:31PM Dikemas Kini : 05 Sep 2018 10:24PM

SINGAPURA: Para pakar ekonomi sektor privet mengekalkan ramalan bagi pertumbuhan ekonomi Singapura tahun ini pada kadar 3.2 peratus, menurut tinjauan terkini suku tahun Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Rabu (5 Sep).

Unjuran pertumbuhan itu sejajar dengan anggaran pemerintah bagi GDP seluruh tahun ini antara 2.5 hingga 3.5 peratus. Perangkaan rasmi yang dikeluarkan bulan lalu menunjukkan pertumbuhan suku kedua lebih baik dari jangkaan sebanyak 3.9 peratus berbanding tahun lalu.

Sejak tinjauan terakhir pada bulan Jun, para pakar ekonomi menaikkan jangkaan mereka bagi petanda ekonomi seperti pengilangan, penginapan dan khidmat makanan, serta pembelian privet.

Sektor pengilangan dijangka kekal menjadi pemacu utama ekonomi, dengan pertumbuhan 7.6 peratus, naik daripada 5.3 peratus pada tinjauan sebelumnya.

Sebaliknya, sektor kewangan dan insurans, jualan borong dan runcit serta binaan dijangka mengecut.

Ramalan bagi sektor binaan menunjukkan penurunan paling besar dengan penguncupan 4.2 peratus, berbanding 2.1 peratus yang diramalkan pada tinjauan sebelum ini.

Berdasarkan 23 pakar ekonomi yang ditinjau, perlindungan dagangan terus dikenal pasti sebagai risiko terbesar bagi ekonomi Singapura pada masa depan.

Sementara itu, terdapat juga kebimbangan yang meningkat berhubung pertumbuhan luar negara yang lebih lemah akibat keadaan kecairan kewangan yang diperketat di pasaran-pasaran membangun. 42 peratus responden menyebut faktor itu sebagai risiko kepada ekonomi negara, berbanding 11 peratus dalam tinjauan suku sebelumnya.

Bilangan responden yang merujuk kepada pertumbuhan lebih perlahan di China sebagai satu risiko juga meningkat kepada 37 peratus, berbanding 21 peratus, menyusuli langkah mengetatkan syarat-syarat kredit.

Para pakar ekonomi juga kurang optimis terhadap jangkaan pasaran hartanah dalam negeri, sebahagiannya disebabkan langkah-langkah menyejukkan pasaran baru-baru ini. Hanya 26 peratus daripada mereka menukilnya sebagai satu potensi kenaikan, berbanding 47 peratus pada tinjauan Jun.

Ramalan bagi kedua-dua inflasi utama dan teras pada 2018 masing-masing adalah 0.7 dan 1.7 peratus.

Bagi pasaran buruh, pakar-pakar ekonomi menjangkakan kadar pengangguran kekal pada kadar 2.1 peratus, tidak berubah daripada tinjauan sebelumnya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan