Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

OG singkatkan waktu beli-belah, Honestbee tutup sementara kedai runcit

Sekurang-kurangnya dua peruncit di Singapura mengumumkan waktu perniagaan lebih pendek atau menutup buat sementara kedai mereka di tengah-tengah penularan virus korona baru. 

Anggaran Waktu Membaca:
OG singkatkan waktu beli-belah, Honestbee tutup sementara kedai runcit

OG Orchard Point.

Diterbitkan : 11 Feb 2020 10:42AM Dikemas Kini : 11 Feb 2020 10:46AM

SINGAPURA: Sekurang-kurangnya dua peruncit di Singapura mengumumkan waktu perniagaan lebih pendek atau menutup buat sementara kedai mereka di tengah-tengah penularan virus korona baru.

Ini selepas Singapura meningkatkan penilaian risiko terhadap virus tersebut minggu lalu di tengah-tengah penularan wabak tersebut di sini, yang bermula di China dan sudahpun mengorbankan lebih 900 jiwa selain dijangkiti lebih 40,000 orang.

Salah satunya adalah kedai serbaneka OG, yang menyesuaikan waktu operasi kedainya sejurus setelah pihak berkuasa mengumumkan tentang kenaikan tahap amaran DORSCON ke warna jingga pada Jumaat lalu (7 Feb).

Tiga cawangan OG, yang biasanya dibuka dari 11.00 pagi hingga 9.30 malam setiap hari, kini akan ditutup pada 8.30 malam "sehingga diberitahu kelak".

Menurut OG, langkah itu supaya para pekerjanya "boleh pulang ke rumah lebih awal... dalam tempoh kritikal untuk memerangi wabak virus korona".

Sejajar dengan langkah-langkah yang dipertingkatkan, OG menyatakan ia sudahpun mula memeriksa suhu badan kesemua kakitangan dan pengunjung ke pejabatnya. Para jurujual produk, pekerja penghantaran dan kakitangan lain yang memasuki kedai serbagunanya mesti juga memakai pelitup setiap masa.

Sebelum ini, ia sudahpun mengambil langkah-langkah lain seperti meningkatkan kerja pembasmian kuman di lantai, tandas dan permukaan yang kerap disentuh seperti susur tangan, butang lif serta tangga bergerak.

OG juga menyatakan hanya seorang daripada 26 pekerjanya adalah dari China yang melakukan perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing. Pekerja berkenaan kini menjalani cuti ketidakhadiran (LOA) selama 14 hari sehingga 18 Februari.

Mengenai sama ada bilangan pengunjung berkurangan, seorang jurucakap OG berkata syarikat itu sedang memantau perkembangan sejak pembukaan semula perniagaannya pada 27 Januari lalu selepas cuti Tahun Baru Cina.

Sebelum itu, meskipun Singapura mengesahkan pesakit pertama yang dijangkiti virus tersebut pada 23 Januari, OG "tidak menyaksikan sebarang kemerosotan ketara pada jumlah pembeli memandangkan ia masih lagi tempoh membeli-belah bagi perayaan Tahun Baru Cina".

Namun selepas cuti Tahun Baru Cina dan dengan tahap DORSCON pada warna kuning, pusat beli-belah itu "mula menyaksikan kemerosotan pada jumlah pengunjung dan perniagaan", dengan kedai-kedai menjadi sunyi sepi selepas jam 7.00 malam.

BHG Holdings juga menyaksikan kerugian besar pada penjualannya dengan urus niaga di kesemua enam cawangannya merosot antara 40 hingga 50 peratus sejak pengesahan kes pertama pada 23 Januari lalu.

Rangkaian kedai serbaneka itu bagaimanapun menyatakan ia tidak akan membuat penyesuaian pada waktu pembukaan buat masa ini tetapi "mungkin menyemak semula langkah itu jika keadaan berubah".

Begitu juga di Robinsons, waktu operasi di kesemua tiga cawangannya tidak berubah buat masa ini.

Kedua-dua BHG dan Robinsons menyatakan ia sudahpun melaksanakan langkah-langkah berjaga-jaga sejajar dengan garis panduan oleh pihak berkuasa.

Pemeriksaan suhu badan wajib dijalankan manakala pelitup pula disediakan bagi pekerja yag tidak sihat.

Kedua-duanya juga meningkatkan kerja pembersihan di kedai-kedai serbaneka masing-masing dan kawasan bersama yang biasa digunakan, dengan Robinsons mempunyai jadual pembersihan setiap dua jam.

BHG juga merancang memisahkan kakitangan barisan hadapan kepada dua pasukan untuk "mengurangkan hubungan fizikal dan risiko berjangkit". Ia menambah dua pekerjanya sedang menjalani cuti ketidakhadiran 14 hari setelah pulang dari China, masing-masing pada 27 Januari dan 4 Februari.

HONESTBEE TUTUP SEMENTARA KEDAI RUNCIT HABITAT

Habitat, kedai runcit Honestbee dengan teknologi bersepadu. (Gambar: honestbee/Facebook)

Secara berasingan, syarikat pemula Honestbee menutup buat sementara waktu kedai runcitnya dengan teknologi bersepadu, Habitat, dari Isnin (10 Feb) hingga 23 Februari.

Penggantungan kedai runcit di Pasir Panjang yang turut menempatkan sebuah kawasan makan "mungkin akan dilanjutkan jika perlu", menurut seorang jurucakap syarikat itu.

Sejak Singapura mengesahkan kes pertama jangkitan virus korona tersebut, jumlah pengunjung ke kedai runcit berkenaan menjunam sekitar 60 peratus dengan kesan paling ketara disaksikan sewaktu tempoh makam malam pada hujung minggu, tambah jurucakap itu.

Menurut pengumumannya pada Isnin, Honestbee akan meneruskan operasi bagi khidmat penghantaran barangan runcit online.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan