Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

OCBC, Standard Chartered dan Unilever 3 syarikat terbaik untuk bekerja di S'pura: LinkedIn

Laman jaringan karyawan itu mendedahkan pada Rabu (28 Apr) 15 syarikat dalam senarai itu, yang diterbitkan buat pertama kali di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
OCBC, Standard Chartered dan Unilever 3 syarikat terbaik untuk bekerja di S'pura: LinkedIn

(Gambar-gambar: TODAY, Reuters dan AFP)

Diterbitkan : 29 Apr 2021 12:42PM Dikemas Kini : 29 Apr 2021 12:45PM

SINGAPURA: Oversea-Chinese Banking Corporation (OCBC), Standard Chartered Bank dan syarikat barangan pengguna Unilever adalah tiga syarikat terbaik untuk bekerja, menurut senarai LinkedIn bagi syarikat-syarikat terunggul di Singapura pada 2021.

Laman jaringan karyawan itu mendedahkan pada Rabu (28 Apr) 15 syarikat dalam senarai itu, yang diterbitkan buat pertama kali di Singapura.

Syarikat-syarikat itu adalah:

  • OCBC Bank
  • Standard Chartered Singapore
  • Unilever
  • EY
  • UOB
  • Citi
  • Accenture
  • ST Engineering
  • FairPrice Group
  • Sea
  • IBM
  • PwC
  • KPMG
  • Prudential
  • DBS Bank

Menurut LinkedIn, banyak syarikat dalam senarai Singapura itu sedang mengambil pekerja, dengan lebih daripada 1,700 jawatan tersedia.

Senarai syarikat terbaik LinkedIn adalah panduan tahunan yang mengenal pasti tempat terbaik bagi karyawan untuk mengembangkan kerjaya mereka.

LinkedIn menilai syarikat-syarikat menggunakan tujuh petunjuk data: Keupayaan untuk berkembang maju, pertumbuhan kemahiran, kestabilan syarikat, peluang luaran, pertalian syarikat, kepelbagaian gender dan latar belakang pendidikan.

LinkedIn menyatakan bahawa kesemua 15 syarikat dalam senarai tersebut melabur dalam kejayaan pekerja, pengembangan kerjaya, ekuiti dan amalan inklusif.

Syarikat-syarikat dalam industri perbankan, perakaunan dan perkhidmatan kewangan membentuk sebahagian besar senarai tersebut, yang mencerminkan kekuatan sektor perbankan di Singapura dan daya tahannya semasa pandemik COVID-19, kata LinkedIn.

Encik Chris Anderson, editor berita kanan Asia-Pasifik di LinkedIn, berkata bahawa cabaran yang timbul akibat COVID-19 membantunya untuk mengenal pasti syarikat-syarikat yang melabur dalam pengembangan pekerja.

"Kami menemui syarikat-syarikat terbaik yang mengutamakan pekerja mereka dengan terdahulu melaksanakan pelbagai dasar berhubung kesejahteraan dan kesihatan mental, dan membantu mereka kembali bangkit, melalui program latihan dan pembangunan," katanya.

Syarikat yang berjaya masuk dalam senarai itu mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Memberi komitmen kepada atau melancarkan program-program bertujuan mengembangkan kemahiran pekerja mereka untuk memenuhi keperluan pekerjaan masa depan dan sedia ada. Sebagai contoh, ST Engineering bekerjasama dengan institusi pendidikan untuk melatih pekerjanya, EY mempunyai program Sarjana Pentadbiran Perniagaan secara maya yang tersendiri dan Prudential telah menawarkan latihan pembelajaran mesin (machine learning).
  • Menyokong tenaga kerja mereka mengharungi masa-masa yang mencabar dengan aturan kerja yang fleksibel dan dasar-dasar yang menyokong kesejahteraan pekerja. Sebagai contoh, OCBC Bank berikrar untuk tidak memberhentikan sebarang pekerja, Unilever memberikan cuti kepada pekerjanya sebagai tanda penghargaan atas kerja keras mereka semasa pandemik COVID-19 dan Accenture melaksanakan program bantuan pekerja serta skim-skim lain untuk menyokong pekerjanya.
  • Membuat pelaburan besar dalam keupayaan digital. Sebagai contoh, perniagaan e-dagang dan permainan, Sea, berkembang pesat semasa pandemik dan syarikat itu juga dianugerahkan lesen bank digital penuh oleh pihak berkuasa Singapura, dan Standard Chartered Bank melancarkan bank digital sepenuhnya di sini.
Sumber : Today/TQ/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan