Images
  • ocbc
    Bangunan OCBC Bank di kawasan CBD Singapura. (Gambar: Edgar Su/REUTERS)

OCBC akan semak semula keperluan ruang pejabat, jumlah cawangan

SINGAPURA: Bank kedua terbesar di Singapura OCBC akan menyemak keperluan ruang pejabatnya, termasuk bilangan cawangan bank yang dimilikinya, di tengah-tengah perubahan corak kerja yang disebabkan pandemik COVID-19.

"COVID-19 menunjukkan kepada kami bahawa ada ruang untuk operasi hibrid untuk kakitangan kami, dengan sebilangan yang boleh bekerja dari rumah dan ada yang boleh bekerja dari pejabat," kata pengerusi bank tersebut Ooi Sang Kuang sebagai menjawab soalan pemegang saham semasa mesyuarat agung tahunan bank pada Khamis (29 Apr).

“COVID-19 juga menunjukkan bahawa tidak semua kakitangan perlu bekerja di ibu pejabat. Kakitangan boleh ditugaskan lebih dekat dengan rumah masing-masing, dan juga di pinggir bandar,” tambahnya.

Oleh itu, OCBC "pasti akan bergerak ke arah" sekitaran kerja hibrid di mana pekerja hanya bekerja di pejabat pada hari-hari tertentu.

"Kami mungkin tidak memerlukan begitu banyak cabang untuk melayani pelanggan kami," kata Encik Ooi.

"Jadi tentu sekali, saya fikir akan ada semakan dari segi keperluan (ruang) pejabat sedang kami melangkah ke hadapan."

OCBC tidak akan bersendirian dalam mengambil langkah sedemikian, ketika bank-bank di seluruh dunia menimbangkan semula penggunaan pejabat setelah pandemik menunjukkan bahawa bank-bank itu masih dapat beroperasi secara berkesan dengan bekerja jarak jauh.

Di Singapura, DBS dilaporkan akan menutup dua setengah lantai, atau ruang seluas 75,000 kaki persegi, di Menara 3 Pusat Kewangan Marina Bay pada Disember, menurut laporan Bloomberg awal bulan ini. DBS kini adalah penyewa utama di sana, mengambil tempat belasan tingkat di bangunan tersebut.

Bank-bank lain yang dilaporkan merancang untuk mengecilkan ruang pejabat di sini termasuk Citigroup, ANZ dan Standard Chartered.

“COVID-19 mengubah model operasi tempat kerja dan kita perlu menerapkan perubahan untuk mewujudkan sebuah organisasi yang lincah dan fleksibel. Ini termasuk mentakrifkan semula model kerja masa depan, seperti kerja jarak jauh, dasar tenaga kerja dan keperluan ruang pejabat,” kata ketua pegawai eksekutif kumpulan OCBC Helen Wong, yang mengambil alih tugas tertinggi dua minggu lalu.

OCBC menyaksikan keuntungan bersih tahun penuh menjunam 26 peratus kepada S$3.59 bilion, berbanding rekod S$4.87 bilion setahun sebelumnya.

Pada masa hadapan, Cik Wong berkata bank itu akan menumpukan kepada empat bidang - memanfaatkan jangkaan peningkatan pelaburan, perdagangan dan aliran modal merentasi rantau ASEAN-China, memperluas francais pengurusan kekayaannya di tengah peningkatan kemakmuran di Asia, dan juga mempercepat perjalanan pendigitalan dan berusaha untuk menjadi "bank mampan serantau terkemuka".

- CNA/TQ/tq

Top