Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Nura J kembang perniagaan dengan 4 produk baru, sasar tembusi pasaran luar negara

Jika sebelum ini salon muslimah Pearlista cukup sinonim dengan khidmat serta produk jagaan rambut, kini jenama itu meneroka bidang baru dan meluaskan lagi rangkaian produk yang ditawarkannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Nura J kembang perniagaan dengan 4 produk baru, sasar tembusi pasaran luar negara

Pengasas dan pemilik salon rambut Pearlista, Nura J. (Gambar: Pearlista/Instagram)

SINGAPURA: Jika sebelum ini salon muslimah Pearlista cukup sinonim dengan khidmat serta produk jagaan rambut, kini jenama itu meneroka bidang baru dan meluaskan lagi rangkaian produk yang ditawarkannya.

Dengan barisan produk-produk baru ini, jenama Pearlista nampaknya dalam diam sudah mengembangkan sayap perniagaannya dan mencipta peluang untuk menembusi pula pasaran baru. Mungkin pasaran antarabangsa!

Sempena ulang tahun ke-5 Pearlista tahun ini, jenama tersebut pada Sabtu (23 Nov) lalu melancarkan produk tuala wanita, pelapik seluar dalam dan tisu basah intim wanita sebagai cabang baru perniagaannya.

Nama empat produk mesra wanita yang baru itu ialah 'Premium Day Pads', 'Premium Overnight Pads', 'Premium Panty Liners' dan 'Premium Feminine Wipes'.

(Gambar: BERITAmediacorp)

Pengasas dan pemilik Pearlista Nurashikin Jasni, atau lebih dikenali sebagai Nura J berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa semua produk-produk baru itu akan mula dijual kepada orang ramai pada bulan depan.

Berkongsi lebih lanjut tentang usaha niaga baru itu, Nura mengatakan bahawa idea menghasilkan produk-produk baru itu diilhamkan oleh anak gadisnya sendiri, Nyla Esman.

"Saya sebenarnya mahu menghasilkan rangkaian produk ini sebelum Nyla mencecah usia akil baligh bagi memastikan dia menggunakan produk yang betul dan selamat. Namun kajiannya agak sukar dan memakan masa lebih lama daripada tempoh yang kami anggarkan.

"Saya dan tiga orang rakan juga memerlukan masa tambahan enam bulan untuk mencuba tuala wanita itu sendiri," jelas Nura.

Kini tempoh percubaan sudah berlalu dan tempoh penjualan pula bakal menjelang. Kaum wanita yang berminat, menurut Nura, boleh mendapatkan barangan tersebut di acara Celebfest pada penghujung Disember ini.

LABUR LEBIH S$100,000 UNTUK BANGUNKAN PRODUK BARU

Melaburkan lebih $100,000 bagi rangkaian produk tersebut, Nura memberi tumpuan kepada tahap penyerapan yang baik, bebas wangian dan kewujudan ion negatif pada tuala wanita.

Nura menjelaskan: "Penting untuk menjadikannya bebas wangian supaya ia tidak mengganggu paras pH pada bahagian intim wanita dan untuk tidak sengaja melitup bau yang tidak enak.

(Gambar: BERITAmediacorp)

"Ion negatif itu juga mencegah bakteria, mengurangkan ketidakselesaan bahagian intim dan terus mengekalkan rasa segar."

Berhasrat mendidik masyarakat untuk menjaga bahagian intim, tisu basah intim wanita yang dihasilkan juga suatu keperluan yang "sangat jelas".

Ini memandangkan kebanyakan tandas di Singapura tidak disertakan dengan hos (air), ujarnya.

"Setiap tisu basah itu juga diasingkan dalam paket aluminium bagi mengurangkan pendedahan kepada udara," tambah ibu tiga anak ini.

Sebagai permulaan, Pearlista dijangka menghasilkan jumlah lebih 10,000 paket produk-produk tersebut keseluruhannya.

MAHU TEMBUSI PASARAN BARU LUAR NEGARA

Nura juga menekankan pentingnya menjaga kebersihan diri, untuk tuan punya badan dahulu sebelum orang lain.

"Kebersihan diri harus bermula dari kecil. Bukan untuk suami, tetapi untuk diri sendiri dahulu.

"Wanita harus menjaga diri sendiri dengan baik supaya mereka yakin diri," tambah Nura.

Yang pasti, evolusi jenama Pearlista ini membuka peluang untuknya menembusi pasaran yang baru.

"Saya turut berharap dan membayangkan dapat ke pasaran luar negara, terutama sekali dengan sayap yang diperluaskan kini," kongsi Nura.

ULANG TAHUN KE-5 RAIKAN PERJUANGAN WANITA

Bermula pada 2014, Pearlista sudah membuka tiga cawangan di kawasan Eunos, Orchard dan Clementi.

(Gambar: BERITAmediacorp)

Sambutan ulang tahun ke-5 Pearlista yang diadakan di restoran Kaw Kaw SG dihadiri Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Dr Intan Azura Mokhtar serta sebilangan selebriti seperti Nurul Aini, Mastura Ahmad, Oniatta Effendy, Aishah Ahmad dan Haryani Othman.

Empat tetamu khas dari latar belakang berbeza turut diundang bagi berkongsi kekuatan serta kisah suka duka mereka sebagai seorang wanita.

(Gambar: BERITAmediacorp)

Mereka terdiri daripada usahawan Denise Deanna dari Deanna's Kitchen, pelakon Dayang Nur Balqis, pesakit barah Roselinda Samad dan penceramah bebas, Ustazah Liyana Musfirah.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan