Images
  • nissan logo
    (Gambar: AFP)

Nissan berhentikan 10,000 pekerja seluruh dunia

TOKYO: Syarikat gergasi kereta Jepun, Nissan, merancang untuk memberhentikan lebih 10,000 pekerja merata dunia dalam usaha pembaharuan perniagaannya, menurut agensi berita Kyodo News pada Selasa (23 Jul), menukil sumber-sumber dari dalam syarikat.

Pemotongan tambahan itu menyusuli 4,800 pemberhentian pekerja yang diumumkan Nissan pada Mei daripada kalangan 139,000 tenaga kerja globalnya.

Keuntungan bersih Nissan menjunam ke paras terendah dalam tempoh hampir sedekad dan syarikat itu memberi amaran akan menghadapi "suasana perniagaan yang mencabar" dalam 12 bulan mendatang.

Syarikat tersebut dibelenggu penjualan yang merosot di Amerika Syarikat dan Eropah dan masih terjejas oleh berita mengejut tentang penangkapan mantan ketuanya Carlos Ghosn berhubung tuduhan salah laku kewangan.

Ia juga sedang menghadapi situasi tegang dengan rakan kongsi Perancis, Renault, yang memiliki 43 peratus daripada syarikat pengeluar Jepun itu. Pada masa yang sama Nissan sedang melalui rombakan untuk memperkukuh urus tadbir dalam syarikat.

Menurut laporan Kyodo, Nissan dijangka mengumumkan secara rasmi langkah pemberhentian kerja itu pada Khamis.

Langkah tersebut dijangka menjejas beberapa kilang di Amerika Selatan dan rantau-rantau di mana Nissan tidak meraih banyak keuntungan, menurut agensi berita itu.

Pada tahun kewangan 2018, penjualan global Nissan susut 4.4 peratus kepada 5.52 juta kenderaan.

Penjualan di Eropah dan Amerika Syarikat masing-masing menjunam 17.8 peratus dan 9.3 peratus.

- AFP/TQ/tq

Top