Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Nilai portfolio Temasek jatuh 2.2% di tengah pandemik COVID-19

Temasek Holdings melaporkan nilai portfolio bersih (NPV) awal berjumlah S$306 bilion setakat 31 Mac, 2020.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Jul 2020 06:35PM Dikemas Kini : 21 Jul 2020 09:32PM

SINGAPURA: Temasek Holdings melaporkan nilai portfolio bersih (NPV) awal berjumlah S$306 bilion setakat 31 Mac, 2020.

Jumlah itu merosot 2.2 peratus di tengah-tengah pandemik COVID-19 berbanding nilai rekod S$313 bilion yang dicatatkan pada tahun lalu, menurut
laporan awal prestasi kewangan firma pelaburan tersebut pada Selasa (21 Jul).

Temasek Holdings bagaimanapun menyatakan ia bersedia untuk melabur dalam peluang-peluang yang wujud dari keadaan pasaran yang tidak menentu sekarang ini.

Jumlah pulangan pemegang saham bagi setahun jatuh ke bawah paras sifar, iaitu -2.3 peratus. Ini berbanding kenaikan 1.49 peratus bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

Temasek dalam kenyataannya menambah, sebelum berlaku pandemik COVID-19 pada suku terakhir tahun kewangan lalu, nilai portfolio bersihnya "terus meningkat secara sederhana dan mengikut trend memberangsangkan".

Jumlah NPV syarikat itu meningkat tiga kali ganda sejak Semakan Temasek pertama dalam tempoh 16 tahun, dengan pulangan pemegang saham keseluruhannya sebanyak 7.5 peratus.

"Secara keseluruhannya, kami berpuas hati dengan prestasi ini meski ada pembetulan ketara disebabkan COVID-19," kata Encik Dilhan Pillay, CEO Temasek International dalam satu kenyataan media.

"Kami mempunyai gabungan pelaburan tersenarai dan tidak tersenarai yang baik, keseimbangan yang padu antara pendokong portfolio dan pelaburan-pelaburan baru ke arah trend aliran baru dan jangka panjang.

"Ini membantu membina daya tahan kami," kata beliau lagi.

Sungguhpun demikian, Encik Dilhan memberi amaran ketegangan geopolitik dan perdagangan akan mewujudkan lebih banyak ketidakpastian bagi pelabur jangka panjang dan pemilik aset. Kesan COVID-19, tambah beliau, akan memburukkan lagi ketidakpastian itu.

Temasek menyatakan ia mengakhiri prestasi akhir tahun kewangan lalu dalam kedudukan kewangan baik dengan penyata imbangannya bagus. Ini membolehkan Temasek bersedia untuk melabur dalam peluang-peluang baru dalam keadaan pasaran tidak menentu semasa dan selepas pemulihan COVID-19.

Semasa pandemik, ia mengalihkan sebahagian besar dana masyarakatnya untuk menyokong pelbagai inisiatif COVID-19.

Temasek Holdings juga berganding bahu dengan pelbagai kumpulan swasta dan pemerintah untuk menerajui ujian serta penyelidikan perubatan yang mampu mengekang penularan virus atau mempertingkat rawatan.

Temasek akan menyediakan lebih banyak maklumat tentang portfolio dan prestasi kewangannya dalam laporan muktamad pada September nanti.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan