Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Nilai kukuh dolar S’pura cetus keprihatinan pulangan pelaburan di luar negeri

Nilai dolar Singapura kekal mantap tahun ini meskipun mata-mata wang negara lain semakin lemah dalam keadaan ekonomi sejagat yang tidak menentu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Dec 2019 04:58PM Dikemas Kini : 24 Dec 2019 11:04PM

SINGAPURA: Nilai dolar Singapura kekal mantap tahun ini meskipun mata-mata wang negara lain semakin lemah dalam keadaan ekonomi sejagat yang tidak menentu.

Keadaan itu mencetuskan keprihatinan sesetengah warga Singapura yang melakukan pelaburan di luar negeri. Sebilangan pakar bagaimanapun menarik perhatian kepada kos import yang lebih murah.

Antara mereka yang meluahkan kebimbangan ialah Encik Ong Seng Lee, 62 tahun. Selain melabur, beliau juga menghantar anak-anaknya belajar di Australia.

PULANGAN PELABURAN RAKYAT S'PURA BERKURANGAN

Pesara ini bimbang kerana semasa melabur pada 2007, nilai tukaran mata wang adalah S$1.33 bagi setiap dolar Australia. Kini nilai tukaran dua mata wang itu setara.

Ini bermakna pulangan pelaburan Encik Ong mungkin berkurangan. Beliau juga mungkin perlu merombak semula struktur pelaburannya atau menyalurkan lebih banyak dana bagi mendapatkan pulangan yang mencukupi untuk persaraannya di Australia. Ini juga bagi memastikan Encik Ong dapat menghantar anak lelakinya belajar di sana.

Nilai mata wang Australia yang lebih rendah dipercayai disebabkan ekonominya yang lemah dan perang dagang yang berterusan antara China dengan Amerika Syarikat.

KOS IMPORT LEBIH RENDAH

Bagaimanapun memandangkan Singapura mengimport hampir kesemua keperluannya, pakar-pakar berkata nilai dolar Singapura yang kukuh akan membantu pembelian barangan mewah seperti kereta. Namun, dengan keadaan ekonomi yang lemah, pembelian barangan mewah juga akan lebih perlahan.

Bagi beberapa waktu akan datang, para penganalisis berpendapat kemantapan dolar Singapura akan bergantung kepada rundingan dagangan China-Amerika.

Pakar-pakar juga menjangkakan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan meneliti keadaan kadar tukaran wang untuk memastikan harga barangan dan perkhidmatan kekal mantap.

Sumber : CNA/AA/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan