Images
  • durian
    (Gambar: BERNAMA)

Nilai eksport durian M'sia lonjak RM74.8 juta dalam 5 tahun

KUALA LUMPUR: Nilai eksport durian Malaysia ke luar negara berkembang sebanyak RM74.8 juta (S$24.3 juta) atau 107 peratus dalam tempoh lima tahun sejak 2016, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Ahmad Hamzah.

Beliau berkata sambutan hebat terhadap durian Malaysia menyebabkan nilai eksport buah itu meningkat saban tahun. 

“Nilai eksport durian pada 2016 merekodkan sebanyak RM69.9 juta (S$22/7 juta), RM59 juta (S$19 juta) pada 2017, RM124.9 juta (S$40 juta) pada 2018, RM127 juta (S$41 juta) pada 2019 dan RM144.7 juta (S$47 juta) pada 2020,” katanya dalam sesi soal jawab semasa persidangan Dewan Negara hari ini (12 Okt).

Beliau berkata sehingga September lalu, durian Malaysia berjaya dieksport ke 22 negara dengan lima negara mencatatkan eksport tertinggi iaitu Hong Kong, China, Singapura, Amerika Syarikat dan Australia berdasarkan rekod tahun 2020. 

“Sebagai negara tertinggi mengimport durian dari Malaysia, Hong Kong menyumbang pertambahan nilai eksport durian iaitu RM57.52 juta (S$18.7) atau 634.7 peratus,” katanya.

Encik Ahmad berkata kerajaan tidak mengenakan sebarang cukai eksport ke atas durian yang dieksport ke luar negara kerana mahu membantu pasaran eksport durian terus berkembang pesat dan berdaya saing dengan durian dari negara lain terutamanya Thailand. 

“Pasaran eksport durian Malaysia dijangka terus berkembang lebih pesat pada masa akan datang,” katanya.

- BERNAMA/FZ/fz

Top