Images
  • singapore skyline
    (Gambar fail: TODAY)

Negara kaya seperti S'pura tidak patut guna status 'negara membangun': Trump

WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Jumaat mengancam untuk menarik balik pengiktirafan status istimewa "negara membangun" bagi negara-negara kaya - termasuk Singapura dan China - di Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) kecuali perubahan-perubahan dibuat terhadap peraturan badan tersebut.

Presiden Trump, dalam satu catatan yang dikeluarkan oleh Rumah Putih, mengarahkan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat untuk berhenti memberi layanan kepada negara-negara sedemikian sebagai negara membangun bagi tujuan keahlian WTO sekiranya "kemajuan ketara" terhadap pembaharuan tidak dilaksanakan dalam tempoh 90 hari.

Kenyataan itu menarik perhatian bahawa tujuh daripada 10 ekonomi paling kaya di dunia menggunakan status negara membangun.

"Tujuh daripada 10 ekonomi terkaya di dunia diukur berdasarkan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) per kapita berdasarkan kesetaraan kuasa beli - Brunei, Hong Kong, Kuwait, Macao, Qatar, Singapura, dan Amiriah Arab Bersatu - sekarang ini menggunakan status negara-membangun," menurutnya.

Presiden Trump memerintahkan pejabat USTR untuk "menggunakan segala cara untuk memastikan perubahan dibuat di WTO," dengan kerjasama negara-negara lain.

Tidak jelas bagaimana langkah tersebut akan mengubah dasar Amerika Syarikat tetapi ia besar kemungkinan akan mencetuskan tindak balas tarif terhadap China dan negara-negara lain.

Status negara membangun di WTO membenarkan pemerintah-pemerintah untuk melanjutkan garis waktu melaksanakan perjanjian perdagangan bebas, serta keupayaan untuk melindungi beberapa industri domestik dan mengekalkan subsidi-subsidi.

- CNA/Agensi berita/NA/na

Top