Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

NDR 2019: Usia persaraan, pengambilan semula pekerja dinaikkan jelang 2030; sumbangan CPF lebih tinggi bagi pekerja lanjut usia

Singapura akan menaikkan usia persaraan dan usia pengambilan semula pekerja, masing-masing kepada usia 65 dan 70 tahun, menjelang 2030. Ini akan dilakukan seiring dengan kenaikan kadar sumbangan kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi pekerja lanjut usia.

Anggaran Waktu Membaca:
NDR 2019: Usia persaraan, pengambilan semula pekerja dinaikkan jelang 2030; sumbangan CPF lebih tinggi bagi pekerja lanjut usia

Gambar fail bangunan CPF. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 19 Aug 2019 12:18AM Dikemas Kini : 19 Aug 2019 01:00AM

SINGAPURA: Singapura akan menaikkan usia persaraan dan usia pengambilan semula pekerja, masing-masing kepada usia 65 dan 70 tahun, menjelang 2030. Ini akan dilakukan seiring dengan kenaikan kadar sumbangan kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi pekerja lanjut usia.

Langkah ini diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (18 Ogos) selepas Pemerintah menerima "sepenuhnya" saranan-saranan yang diusulkan oleh kumpulan kerja perikatan tiga pihak yang mengkaji tenaga kerja yang kian menua di negara ini.

Perubahan-perubahan ini akan dilaksanakan "secara bertahap-tahap", jelas Encik Lee dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun ini.

Usia persaraan akan dinaikkan dari 62 tahun kepada 63 tahun pada 2022, sebelum dinaikkan lagi kepada usia 65 tahun menjelang 2030.

Begitu juga dengan usia pengambilan semula pekerja yang akan dinaikkan dari 67 tahun kepada 68 tahun dalam masa tiga tahun dan kemudian kepada 70 tahun menjelang 2030.

Mereka yang dilahirkan pada atau selepas 1 Julai 1960 akan meraih manfaat daripada usia persaraan yang dinaikkan kepada 63 tahun pada 2022, sementara perubahan pertama pada usia pengambilan semula pekerja kepada 68 tahun akan dikuatkuasakan ke atas mereka yang dilahirkan pada atau selepas 1 Julai 1955, menurut Kementerian Tenaga Manusia.

SUMBANGAN CPF DINAIKKAN

Kadar sumbangan CPF juga akan dinaikkan bagi pekerja yang berusia 55 tahun ke atas, umum PM Lee.

Buat masa ini, secara keseluruhannya sumbangan CPF adalah 37 peratus bagi pekerja berusia sehingga 55 tahun. Kadar sumbangan ini dikurangkan secara bertahap-tahap apabila usia meningkat.

Apabila perubahan-perubahan ini selesai dilaksanakan kelak, pekerja berusia 60 tahun dan ke bawah akan menikmati kadar penuh CPF.

Kadar sumbangan CPF hanya akan dikurangkan secara bertahap-tahap selepas usia mencecah 60 tahun dan kemudian mendatar setelah mencecah usia 70 tahun, tambah PM Lee.

Perubahan pertama pada kadar sumbangan CPF dijadual pada 2021 dan akan disusuli dengan peningkatan dilakukan secara bertahap-tahap.

Menurut PM Lee, keseluruhan proses akan mengambil masa "sekitar 10 tahun ... namun bergantung kepada keadaan ekonomi".

Secara keseluruhannya, perubahan-perubahan ini akan menyokong pekerja lanjut usia untuk bekerja lebih lama dan membantu mereka lebih berdikari dari segi kewangan, tambah Encik Lee.

Beliau menekankan, perubahan yang baru diumumkan tidak akan menjejas dasar bagi mengeluarkan simpanan CPF atau usia untuk mengeluarkan simpanan CPF.

"Kita tidak akan membuat sebarang perubahan pada dasar atau usia untuk mengeluarkan simpanan CPF," tekan beliau.

"Anda masih boleh mengeluarkan sebahagian simpanan anda pada usia 55 tahun dan boleh memulakan agihan CPF dari usia 65 tahun. Semua itu kekal tidak berubah."

PAKEJ SOKONGAN BAGI PERUSAHAAN

Dengan purata jangka hayat hampir 85 tahun, rakyat Singapura kini dalam keadaan sihat lebih lama dan dapat hidup lebih lama, dengan kebanyakan warga emas memilih untuk tidak berhenti bekerja.

"Kita tidak mahu meluangkan lebih banyak masa dalam persaraan," kata PM Lee.

Beliau berkata ia memerlukan "usaha bersama" untuk membolehkan warga tua terus bekerja secara produktif.

Pemerintah akan menghulurkan bantuan kepada pekerja dan majikan dalam bidang ini.

Lantaran itu, PM Lee berkata perusahaan-perusahaan boleh menjangkakan "pakej sokongan" untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan perubahan pada usia persaraan, usia pengambilan semula pekerja dan kadar sumbangan CPF yang baru.

Ini akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam Belanjawan tahun depan, menurut PM Lee.

Sebagai sebuah majikan yang besar, Perkhidmatan Awam akan menerajui gerakan ini dengan menaikkan lebih awal usia persaraan dan pengambilan semula pekerja pada 2021, dan bukan 2022.

"Saya menggalak syarikat-syarikat sektor privet yang boleh berbuat sedemikian, untuk sama-sama melakukannya," seru PM Lee.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan