Images
  • najib (4)
    (Gambar: Bernama)

Najib saran kerajaan M'sia laksana semula GST

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berpendapat kerajaan perlu melaksanakan semula sistem cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) secepat mungkin sebaik saja negara pulih daripada pandemik COVID-19 bagi mencapai matlamat mengurangkan jurang pendapatan, menarik pelaburan asing dan mengukuhkan fiskal negara.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan berkata pelaksanaan GST mampu menyasarkan 'ekonomi gelap' yang bersaiz RM300 bilion setahun yang sebelum ini terlepas daripada membayar apa-apa cukai.

"GST telah menyebabkan 'the black economy' menguncup daripada 25 peratus kepada 10 peratus. Ini adalah ketirisan yang lebih teruk sebelum GST dan sebab itu GST memberi manfaat kepada negara dan rakyat," katanya semasa sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Selasa (28 Sep).

Menurut Encik Najib, kutipan hasil GST mampu diagihkan kepada golongan berpendapatan rendah, khususnya kumpulan B40 dalam bentuk bantuan tunai rakyat yang jauh lebih besar berbanding nilai GST yang dibayar mereka.

Ini kerana, katanya lagi, GST adalah cukai kepenggunaan di mana lebih banyak berbelanja, lebih tinggi cukai yang dibayar.

Mengulas mengenai pengukuhan fiskal kerajaan, beliau berkata, sistem percukaian GST adalah lebih saksama dan progresif yang mampu memberi ruang kepada kerajaan untuk mengurangkan kadar cukai korporat dan cukai pendapatan peribadi.

Buat masa ini, katanya, cukai korporat yang dikenakan di Malaysia adalah antara yang tertinggi iaitu sebanyak 24 peratus berbanding negara-negara ASEAN yang lain seperti Singapura sebanyak 17 peratus, Thailand (20 peratus), Indonesia (22 peratus) dan Vietnam (20 peratus).

Selain itu, Encik Najib juga berkata, memandangkan RMK12 dibentangkan pada penghujung 2021 bagi tempoh pelan 2021-2025 berikutan COVID-19, ia wajar disemak semula supaya lebih bertepatan dan berdasarkan keadaan semasa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Damansara Tony Pua Kiam Wee yang turut menyuarakan pandangan yang sama berkata walaupun lebih 90 peratus visi dan misi yang digariskan dalam RMK12 adalah wajar dan wajib diterima pakai, pelaksanaannya perlu diperhalusi dan diubah suai agar negara dapat mencapai matlamat yang dihasratkan.

Selain itu, katanya, RMK12 yang mewujudkan ruang khusus untuk memperkukuh dan membangunkan sosio-ekonomi Sabah dan Sarawak adalah wajar kerana kedua-dua negeri tersebut mempunyai potensi mencapai pertumbuhan tertinggi di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan dapat melihat semula dasar pelaburan negara dalam meningkatkan fokus pelaburan berteknologi tinggi agar tidak bergantung kepada buruh berkemahiran rendah untuk mencergaskan ekonomi dan menggalakkan industri di Sabah dan Sarawak.

“Pelaburan besar contohnya seperti Intel, Microsoft dan Amazon tidak dapat ke Sabah dan Sarawak kerana kurangnya pekerja mahir dan ekosistem yang tidak sesuai.

“Malah, aktiviti dalam sektor pembuatan hampir tidak wujud dan ini telah menyebabkan ramai yang terpaksa berhijrah ke Semenanjung untuk peluang pekerjaan yang lebih baik,” jelasnya.

- BERNAMA/HA/ha

Top