Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Naib Perdana Menteri China Liu meterai perjanjian dagang di Washington minggu depan

China pada Khamis (9 Jan) menyatakan Naib Perdana Menteri Liu He akan ke Washington minggu depan untuk menandatangani "fasa pertama" perjanjian dengan Amerika Syarikat yang akan mengendurkan ketegangan perdagangan antara kedua-dua ekonomi terbesar dunia itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Naib Perdana Menteri China Liu meterai perjanjian dagang di Washington minggu depan

Gambar fail Naib Perdana Menteri China Liu He di Washington pada 10 Okt 2019 (Gambar: REUTERS/Yuri Gripas)

Diterbitkan : 09 Jan 2020 09:20PM Dikemas Kini : 09 Jan 2020 09:25PM

BEIJING: China pada Khamis (9 Jan) menyatakan Naib Perdana Menteri Liu He akan ke Washington minggu depan untuk menandatangani "fasa pertama" perjanjian dengan Amerika Syarikat yang akan mengendurkan ketegangan perdagangan antara kedua-dua ekonomi terbesar dunia itu.

Pemeteraian itu akan menamatkan pertikaian yang berlarutan selama dua tahun yang mengancam ekonomi global sedang kedua-dua negara itu saling mengenakan tarif ke atas barang dagangan bernilai berbilion dolar.

Encik Liu, perunding paling kanan China dalam pertikaian perdagangan, akan berada di ibu kota Amerika Syarikat bermula Isnin hingga Rabu untuk menandatangani perjanjian itu, menurut kementerian perusahaan.

Presiden Donald Trump minggu lalu mengumumkan kedua-dua negara itu akan menandatangani satu perjanjian kecil - bahagian pertama daripada perjanjian dua hala yang lebih meluas - pada 15 Januari, namun Beijing ketika itu belum lagi mengesahkan kehadiran Encik Liu.

"Atas undangan Amerika Syarikat, Liu He akan memimpin delegasi ke Washington pada 13 Januari hingga 15 Januari untuk menandatangani fasa pertama perjanjian," menurut jurucakap kementerian perusahaan Gao Feng dalam satu taklimat mingguan media.

Para pegawai Amerika dan China menyatakan perjanjian tersebut merangkumi perlindungan hak milik intelektual, makanan dan barangan pertanian, khidmat kewangan dan pertukaran mata wang asing serta peruntukan bagi huraian pertikaian.

Encik Trump juga membatalkan pelan mengenakan tarif ke atas barangan China bernilai bernilai AS$160 bilion (S$216 bilion) pada pertengahan Disember - termasuk barangan pengguna yang popular seperti telefon bimbit - namun tarif tinggi ke atas barangan bernilai AS$250 bilion (S$338 bilion) termasuk mesin dan barangan elektronik masih dikekalkan.

Wakil Perdagangan Amerika Syarikat Robert Lighthizer berkata sebelum ini China memberi komitmen untuk membeli lagi barangan bernilai AS$200 bilion (S$270 bilion) sepanjang dua tahun akan datang daripada pengilang, petani, pengeluar tenaga dan penyedia khidmat Amerika Syarikat.

Encik Gao bagaimanapun enggan mengesahkan perangkaan itu semasa sidang media pada Khamis.

Encik Trump juga minggu lalu berkata beliau akan ke Beijing untuk menyertai rundingan perjanjian lebih meluas seterusnya "pada satu tarikh akan datang" namun Encik Gao berkata beliau "tidak mempunyai sebarang maklumat lanjut berhubung (rundingan) fasa kedua".

Para pengamat berkata peperangan dagangan, yang memberi kesan ke atas ekonomi sedunia yang lain, mungkin menggugat hubungan dagang antara kedua-dua ekonomi besar itu pada jangka masa panjang.

Perdamaian sementara ini juga meringankan beban yang dihadapi Presiden China Xi Jinping yang perlu menangani ekonomi perlahan dan tunjuk perasaan pro-demokrasi di Hong Kong.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan