Images
  • airlannder 10
    Pesawat Airlander 10 semasa penerbangan sulungnya dekat Bedford, di utara London pada 17 Ogos 2016. (Gambar: Justin Tallis/AFP)

Model komersil pesawat terbesar dunia diluluskan untuk penghasilan, menurut laporan

BRITAIN: Versi komersil pesawat terbesar di dunia akan dihasilkan tidak lama lagi dan ia mungkin bersedia membawa penumpang pada awal 2020an, menurut laporan BBC pada Ahad (13 Jan).

Menurut agensi berita Associated Press (AP), prototaip pesawat Airlander 10 sepanjang 92 meter itu, yang menggabungkan ciri-ciri sebuah kapal udara, helikopter dan pesawat, mula menjalani ujian penerbangan pada 2016.

Prototaip Airlander 10 secara rasmi tidak akan dibangunkan semula selepas berjaya menjalani ujian terakhir, meskipun ia terhempas selepas berjaya menjalani ujian penerbangan keenam pada November 2017, lapor BBC.

Syarikat Hybrid Air Vehicles yang membangunkan pesawat itu sudahpun menerima Kelulusan Pertubuhan Penghasilan daripada Penguasa Penerbangan Awam UK (CAA), menurut AP.

BBC juga melaporkan bahawa syarikat berkenaan diberikan Kelulusan Pertubuhan Reka Bentuk daripada Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (Easa) pada Oktober lalu.

AP melaporkan bahawa ini bermakna Hybrid Air Vehicles akan menumpukan perhatian kepada membangunkan dan menghasilkan model komersil baru bagi pesawat Airlander.

BBC menarik perhatian bahawa kelulusan yang diberikan oleh CAA dan Easa itu meletakkan syarikat tersebut dalam "kedudukan kukuh untuk melancarkan penghasilan".

Pesawat Airlander 10, yang bernilai AS$41 juta (S$55 juta), direka untuk terbang di udara sehingga lima hari pada satu masa jika dikendalikan, dan selama lebih dua minggu tanpa dikendalikan dengan had kelajuan penerbangan sekitar 150 kilometer sejam dan keupayaan menampung berat sehingga 10,000 kilogram, menurut syarikat itu seperti yang dipetik oleh AFP.

"Prototaip itu sudah berkhidmat sebagai pesawat hibrid terbesar di dunia, menyediakan kami dengan maklumat yang diperlukan untuk menghasilkan pesawat," kata Ketua Eksekutif Hybrid Air Vehicles, Stephen McGlennan, seperti yang ditukil oleh BBC.  

- CNA/AI/ai

Top