Images

Mesyuarat Tahunan Khas Forum Ekonomi Dunia di S'pura ditunda ke Ogos

SINGAPURA: Mesyuarat Tahunan Khas Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang dijadual berlangsung di Singapura pada Mei ditunda ke Ogos.

Mesyuarat itu sebaliknya akan diadakan pada 17 Ogos hingga 20 Ogos dan bukan 25 Mei hingga 28 Mei seperti yang dijadualkan pada mulanya.

"Walaupun Forum Ekonomi Dunia dan Pemerintah Singapura tetap yakin dengan langkah-langkah yang dilaksanakan untuk memastikan mesyuarat yang selamat dan berkesan, dan jangkitan tempatan COVID-19 di Singapura tetap berada pada tahap yang terkawal, perubahan pada tarikh mesyuarat itu mencerminkan cabaran antarabangsa dalam membendung pandemik itu," kata WEF dalam satu kenyataan media pada Rabu (3 Feb).

"Sekatan perjalanan global sekarang menyukarkan perancangan untuk mengadakan mesyuarat secara bersemuka pada separuh pertama tahun ini.

"Tambahan lagi, peraturan kuarantin dan pengangkutan udara yang berbeza-beza memerlukan masa lebih lama untuk memastikan bahawa para peserta di seluruh dunia boleh membuat aturan untuk menyertainya."

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menyatakan menyusuli pengumuman itu bahawa Pemerintah Singapura "memahami cabaran" yang dihadapi oleh WEF dan bersetuju ia dijadualkan semula.

"Kami akan terus bekerjasama dengan Forum Ekonomi Dunia untuk menganjurkan Mesyuarat Tahunan Khas yang selamat dan berjaya di Singapura," kata MTI ketika menjawab pertanyaan media.

Mesyuarat Tahunan Khas di Singapura pada Ogos akan menjadi sidang kemuncak kepimpinan global pertama yang menangani cabaran untuk pulih dari pandemik itu, kata WEF. Mesyuarat itu biasanya diadakan di Davos, Switzerland.

LAPORAN BERKAITAN:

- CNA/TQ/tq

Top