Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Mesir lepaskan kapal Ever Given Rabu ini

Kapal kontena raksasa yang ditahan Mesir sejak ia menyekat laluan di Terusan Suez pada bulan Mac akan dilepaskan pada Rabu (7 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Mesir lepaskan kapal Ever Given Rabu ini

Kapal Ever Given mengepung laluan Terusan Suez selama enam hari lantas menjejas perdagangan dunia. (Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 05 Jul 2021 09:36AM Dikemas Kini : 05 Jul 2021 09:40AM

KAHERAH: Kapal kontena raksasa yang ditahan Mesir sejak ia menyekat laluan di Terusan Suez pada bulan Mac akan dilepaskan pada Rabu (7 Jul).

Ini selepas pihak berkuasa yang menguruskan laluan penting itu menyatakan ia sudah mencapai perjanjian dengan para pemilik warga Jepun bagi kapal berkenaan.

Kapal MV Ever Given - kapal raksasa dengan berat muatan 199,000 ton - tersendat di terusan itu disebabkan angin kencang pada 23 Mac sekali gus menyekat laluan perdagangan tersebut selama enam hari sebelum pasukan-pasukan penyelamat berjaya melepaskannya.

Mesir kemudian menahan kapal kontena itu untuk menuntut pampasan daripada syarikat Jepun, Shoei Kisen Kaisha atas kerugian ekoran insiden tersebut dan bagi menanggung kos melepaskan kapal itu serta kerosakan pada laluan perkapalan itu yang menghubungkan Asia dengan Eropah.

Penguasa Terusan Suez (SCA) menyatakan dalam satu kenyataan bahawa satu upacara akan diadakan pada Rabu untuk menandakan pemeteraian perjanjian dengan para pemilik dan juga "pelepasan kapal itu".

Bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad (4 Jul) itu tidak mendedahkan jumlah pampasan.

Mesir mengalami kerugian antara AS$12 juta (S$16 juta) hingga AS$15 juta (S$20 juta) bagi setiap hari laluan itu ditutup, menurut SCA.

Malah, usaha intensif untuk mengapungkan semula kapal tersebut juga menyebabkan kerosakan besar pada terusan itu.

Seorang anggota firma undang-undang yang berpangkalan di London, Stann Marine, yang mewakili para pemilik dan syarikat insurans Ever Given mengesahkan bahawa persiapan sedang dijalankan bagi pelepasan kapal berkenaan.

"Kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa ... kemajuan baik sudah dicapai dan satu huraian rasmi sudahpun dipersetujui" antara kedua-dua pihak, kata Encik Faz Peermohamed dalam satu kenyataan.

Sumber : AFP/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan