Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Menteri Pengangkutan M'sia sasar atasi S'pura sebagai hab pengisian minyak kapal

Kementerian Pengangkutan Malaysia sedang dalam proses mengkaji semula peraturan dan sekatan untuk membolehkan Malaysia menjadi hab pengisian bahan api bagi kapal-kapal yang melalui laluan sibuk di Selat Melaka, sebuah industri yang kini dikuasai oleh Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri Pengangkutan M'sia sasar atasi S'pura sebagai hab pengisian minyak kapal

Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke.

Diterbitkan : 10 Sep 2019 04:43PM Dikemas Kini : 10 Sep 2019 04:45PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan Malaysia sedang dalam proses mengkaji semula peraturan dan sekatan untuk membolehkan Malaysia menjadi hab pengisian bahan api bagi kapal-kapal yang melalui laluan sibuk di Selat Melaka, sebuah industri yang kini dikuasai oleh Singapura.

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke berkata hari ini (10 Sep) langkah untuk mengembangkan dan membangunkan infrastruktur dan ekosistem yang diperlukan akan membolehkan Malaysia memanfaatkan keuntungan yang dijana industri tersebut. Namun beliau mengakui terdapat kekurangan pada masa ini dari segi keselamatan, bekalan, dan peraturan.

"Selama bertahun-tahun kita fikir kita telah ketinggalan dalam industri pengisian bahan bakar kapal. Semua kapal yang berlabuh dan melalui Selat Melaka perlu mengisi minyak namun lazimnya semua pengisian minyak ini berlaku di Singapura, oleh itu kita ketinggalan dari segi perniagaan kepada jiran kita di selatan.

"Kita perlu membangunkan keseluruhan ekosistem dari segi bekalan, peraturan, dan penguatkuasaan, dan kita perlu memberi keyakinan kepada syarikat-syarikat perkapalan bahawa pengisian minyak di Malaysia selamat dan kita boleh bersikap telus," katanya kepada para pemberita selepas melancarkan Sambutan Kebangsaan Minggu Maritim Dunia 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Menurut laporan, industri khidmat pengisian minyak kapal di Singapura bernilai RM2 bilion (S$661 juta) pada tahun 2017 namun saiz pasaran Malaysia dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya tiga kali ganda jumlah tersebut, iaitu sekitar RM6 bilion.

Encik Loke mengakui buat masa ini terdapat kekurangan pada kemudahan pengisian bahan bakar kapal di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata perbincangan antara kementeriannya dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sudah bermula dan perkara utama dalam agenda mereka ada untuk mengkaji semula peraturan sedia ada.

Sumber : Today/Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan