Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Menteri Kewangan M'sia cadang naikkan had statutori hutang kepada 65% GDP

Menteri Kewangan Malaysia Tengku Zafrul Abdul Aziz akan mencadangkan untuk menaikkan had statutori hutang kepada 65 peratus daripada 60 peratus daripada Hasil Dalam Negeri (GDP) pada masa ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri Kewangan M'sia cadang naikkan had statutori hutang kepada 65% GDP

Gambar fail Tengku Zafrul Abdul Aziz (Gambar: AP)

Diterbitkan : 03 Sep 2021 05:27PM Dikemas Kini : 03 Sep 2021 05:31PM

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Malaysia Tengku Zafrul Abdul Aziz akan mencadangkan untuk menaikkan had statutori hutang kepada 65 peratus daripada 60 peratus daripada Hasil Dalam Negeri (GDP) pada masa ini.

Beliau berkata walaupun nisbah hutang statutori kepada GDP pada masa ini sebanyak 58 peratus, berdasarkan komitmen yang dibuat oleh kerajaan untuk menyokong rakyat dan perniagaan, nisbah hutang kepada GDP mungkin akan meningkat kepada melebihi 60 peratus pada akhir tahun.

“Hari ini, kita masih di bawah 60 peratus, (iaitu) sebanyak 58 peratus daripada had statutori hutang kita, dan walaupun jika kita melepasinya, ia adalah kecil, tetapi sekali lagi, kita perlu membawanya ke Parlimen untuk menaikkan had tersebut.

“Pelannya untuk membentangkannya (cadangan itu) kepada Kabinet minggu depan, kemudian kita akan membawanya ke Parlimen pada masa yang sesuai,” katanya pada sidang media hari ini (3 Sep).

Ditanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan pinjaman asing berikutan ruang fiskal yang terhad, Tengku Zafrul berkata kerajaan tidak akan membuat pinjaman dalam mata wang asing buat masa ini.

“Kita mempunyai mudah tunai yang mencukupi dalam pasaran. Kami menjangka untuk membiayai semua pakej rangsangan dengan memanfaatkan pasaran ringgit tempatan dan kami mempunyai kecairan yang mencukupi tanpa perlu bimbang mengenai impak kepada pasaran tempatan,” katanya.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul mengakui bahawa kerajaan mempunyai ruang fiskal yang terhad tetapi itu tidak menghalangnya daripada terus memperluas dasar fiskalnya untuk menyokong ekonomi.

“Kita telah menyaksikan bagaimana kami telah menyemak semula perbelanjaan kami untuk meningkatkan pinjaman dan defisit telah meningkat, yang diunjurkan sehingga 6.5-7.0 peratus,” katanya.

Menurut beliau, setakat ini, sebanyak 97 peratus daripada jumlah pinjaman kerajaan adalah dalam mata wang ringgit dan hanya tiga peratus dalam mata wang asing.

Mengenai memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam Bajet 2022, Tengku Zafrul berkata kerajaan sedang memberi tumpuan untuk memulihkan ekonomi dan ini bukan masa yang sesuai untuk mengembalikan semula cukai penggunaan seperti GST.

Beliau berkata kerajaan sedang mengkaji cara untuk meningkatkan pendapatan dan menangani isu ketirisan hasil.

Mengenai jangkaan Malaysia untuk memasuki fasa endemik COVID-19 pada akhir Oktober ini, katanya beliau berharap semua sektor akan dibenarkan untuk beroperasi semula pada masa itu, walaupun dalam keadaan normal baharu.

“Apabila kita memasuki fasa endemik, akan terdapat perubahan dalam prosedur operasi standard, tetapi ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara Malaysia,” katanya. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan