Images
  • barbie 1
    Sejak berusia 10 tahun, Erpha Ahdayani Othman sudah mula menghasilkan gaun anak patung. (Gambar: Bernama)

Menggayakan Barbie bukan ‘mainan kanak-kanak’; inilah wanita yang hasilkan gaun eksklusifnya

BINTULU: Sejak beberapa tahun lalu, ibu kepada dua cahaya mata dari Sarawak ini tersenyum puas apabila gaun patung Barbie jahitannya sentiasa mendapat tempahan serta permintaan pengumpul anak patung itu, terutamanya dari Amerika Syarikat.

Erpha Ahdayani Othman, 41 tahun, sememangya mengagumi kehalusan serta keindahan pakaian anak patung sejak kecil lagi. Malah, beliau pernah 'curi-curi' menggunakan mesin jahit ibunya bagi menghasilkan gaun anak patung ketika baru berusia 10 tahun.

Berkongsi pengalaman kepada agensi berita Bernama, Cik Erpha berkata beliau memberi tumpuan menghasilkan gaun anak patung jenis ‘Silkstone Barbie’, bukan patung mainan biasa untuk kanak-kanak.


(Gambar: Barbie Fashions by Erpha Ahdayani/Facebook)

Menurut beliau, 'Silkstone Barbie' adalah 'collector’s items' atau barangan yang digemari pengumpul dan bersifat lebih eksklusif.

"Minat menjahit gaun anak patung ini sentiasa ada dalam diri, tetapi hobi ini sudah lama ditinggalkan. Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya asah kembali kemahiran menjahit gaun anak patung Barbie ini. Bukan itu sahaja, setiap gaun yang dihasilkan saya buat rekod dari segi ukuran serta rekaan," katanya.

Cik Erpha berkata sejak kembali aktif menjahit, beliau sudah menghasilkan beratus-ratus gaun 'Silkstone Barbie' dengan pesanan terbesar diterima dari para pelanggan di Amerika Syarikat.

MENGGAYAKAN SKIRT PENSEL, GAUN VINTAJ & KLASIK

"Menjahit gaun yang kecil perlu ada kemahiran, sekiranya tersilap satu milimeter (mm) gaun tersebut akan jadi besar. Saya boleh siapkan sehelai gaun dalam tempoh sehari namun tumpuan perlu diberikan sepenuhnya semasa menjahit, pola jahitan perlu betul supaya mutu pakaian terjaga," katanya.


(Gambar: Barbie Fashions by Erpha Ahdayani/Facebook)

Cik Erpha, yang berasal dari Kampung Dagang di Bekenu, berkata selain teknik jahitan, jenis fabrik yang digunakan juga perlu diberi perhatian dalam setiap tempahan.

"Saya gunakan pelbagai jenis fabrik, termasuk kain sutera dan kapas. Jenis fabrik yang digunakan perlu mengambil kira warna sama ada gelap atau terang yang akan mempengaruhi semasa menjahit.

“Selain itu, pensel mekanikal yang digunakan juga perlu terang supaya 'stroke' nanti jelas supaya tidak terlebih potong atau terkurang,” katanya.


(Gambar: Barbie Fashions by Erpha Ahdayani/Facebook)

Berkongsi rahsia menghasilkan gaun yang mampu menarik perhatian pelanggan, Cik Erpha berkata jenis fabrik dan corak juga memainkan peranan penting supaya hasil jahitan sesuai dengan anak patung 'Silkstone Barbie'.

"Antara rekaan gaun yang biasa saya hasilkan ialah ‘pencil skirt’ dan ‘vintage dress’ ataupun ‘classic dress’. Setiap satu gaun yang saya hasilkan dijual antara harga RM150 (S$49) hingga RM200 (S$66), harga juga bergantung kepada jenis fabrik yang digunakan.

"Pereka pakaian anak patung tidak ramai, rekaan mungkin sama tetapi jenis fabrik yang digunakan serta hasil jahitan yang membezakan hasil tangan setiap tukang jahit," katanya. 

- BERNAMA/AI/ai

Top