Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Melindungi pekerja, bukan pekerjaan kunci perubahan ekonomi, kata DPM Heng

Singapura percaya kepada globalisasi dan yakin bahawa perubahan ekonomi harus diteruskan meskipun terdapat ketidaktentuan di tengah-tengah perubahan ketara disebabkan globalisasi.

Anggaran Waktu Membaca:
Melindungi pekerja, bukan pekerjaan kunci perubahan ekonomi, kata DPM Heng

Encik Heng Swee Keat. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 10 May 2019 08:17AM Dikemas Kini : 10 May 2019 08:20AM

ZURICH: Singapura percaya kepada globalisasi dan yakin bahawa perubahan ekonomi harus diteruskan meskipun terdapat ketidaktentuan di tengah-tengah perubahan ketara disebabkan globalisasi.

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata demikian di Simposium St Gallen yang ke-49 di Switzerland pada Khamis (9 Mei). Encik Heng menekankan kuncinya adalah untuk melindungi para pekerja, dan bukan pekerjaan.

"(Ada yang) berpandangan bahawa globalisasi menyebabkan penduduk ketinggalan (dan) maka itu, mereka tidak meraih manfaat daripadanya," katanya.

"(Ada yang) merasakan bahawa ketidaksamarataan kian meningkat dan ia merupakan sistem yang kurang adil. Tentunya pengangguran berlaku di banyak tempat.

"Ia lebih-lebih lagi sukar dan dunia juga sedang mengalami peralihan demografik yang besar."

Encik Heng berkata selain itu, sesetengah pekerjaan tidak lagi diperlukan akibat perubahan teknologi.

Dunia juga sedang menyaksikan peralihan demografik ketara, di negara-negara yang mempunyai masyarakat semakin menua dan lainnya, yang ada ramai penduduk muda tetapi sistem pendidikannya masih sedang dibangunkan.

"Sebagai para pemimpin politik, adalah penting untuk mengutamakan rakyat dalam usaha kami kerana pada akhirnya, kami bukan semata-mata mengejar pertumbuhan ekonomi ataupun inovasi, tetapi sebaliknya kami mahu meningkatkan kehidupan rakyat dan meningkatkan kehidupan para pekerja.

"Oleh itu, adalah penting untuk melindungi para pekerja dan bukan pekerjaan," katanya.

Menurut Encik Heng, kesatuan-kesatuan Singapura memainkan peranan penting dalam usaha itu kerana ia memilih untuk mengambil pendekatan bekerjasama dan bukan pertentangan.

Menteri itu juga menarik perhatian mengenai inisiatif Perbincangan Singapura Kita atau 'Our Singapore Conversation' selama setahun, yang diharap dapat dibawa ke satu lagi tahap.

Encik Heng menghadiri sesi di Simposium St Gallen sebagai sebahagian daripada lawatan selama lima hari ke Switzerland. Ini merupakan kali pertama beliau melakukan lawatan ke luar negara sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Semasa lawatannya itu, Encik Heng dan delegasinya mengunjungi beberapa syarikat Switzerland, termasuk ABB iaitu syarikat global yang menerajui bidang elektrifikasi, robotik dan teknologi automasi. Singapura sudah "menjalin hubungan yang lama" dengan syarikat tersebut.

Encik Heng dan delegasinya juga mengadakan pertemuan dengan Swissmem, sebuah persatuan yang terdiri daripada lebih 1,000 syarikat kecil dan sederhana (SME) dalam bidang kejuruteraan elektrik dan mekanikal.

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan