Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Megamall di JB tumbuh bak cendawan, tapi... boleh bertahan?

Pusat beli belah Toppen - yang terbaru di Johor akan dibuka 13 November ini. Namun sejauh manakah megamall di Johor akan terus bertahan, atau akhirnya jadi kosong dan terbengkalai seperti sebahagian mall lain?

Anggaran Waktu Membaca:
Megamall di JB tumbuh bak cendawan, tapi... boleh bertahan?

Pusat beli-belah Toppen bersebelahan IKEA Tebrau (Gambar: IKEA)

Diterbitkan : 27 Oct 2019 10:48PM Dikemas Kini : 27 Oct 2019 11:02PM

JOHOR BAHRU: Bagi anda yang pernah ke IKEA Tebrau, Johor Bahru baru-baru ini, anda pasti terlihat bangunan Toppen Shopping Centre yang akan dibuka pada 13 November nanti.

Bangunan empat tingkat yang dihubungkan dengan IKEA itu bakal menempatkan 300 kedai, termasuk penyewa seperti gedung elektronik utama, pasar raya, panggung wayang dan pusat e-sukan.

Dengan keluasan keseluruhannya termasuk IKEA berukuran 1.2 juta kaki persegi - sama seperti 16 padang bola sepak - Toppen adalah antara pusat beli-belah gergasi atau 'megamall' yang tumbuh bak cendawan selepas hujan di Johor Bahru.

Namun, sejauh manakah trend pembangunan di Johor Bahru ini akan berkekalan? Ataupun adakah akan ada lagi kes-kes bangunan terbengkalai seperti di bahagian-bahagian lain dalam bandar itu?

KERAJAAN NEGERI YAKINI KEJAYAAN 'MEGAMALL'

Kerajaan negeri Johor bersikap positif bahawa Toppen akan berjaya menarik pengunjung dalam jangka panjang dan akan menyertai senarai 'megamall' lain - Paradigm, Southkey Mid Valley, Aeon Tebrau City, JBCC Komtar dan JB City Square - yang sejauh ini masih mengekalkan daya tarikannya.

Cik Liow Cai Tung, anggota majlis eksekutif Johor bagi pelancongan memberitahu Mediacorp: "Saya agak yakin Toppen boleh menarik lebih ramai pengunjung untuk datang, dengan lebih 85 peratus ruang runcit sudah disewa. Saya melihatnya sebagai tanda positif di mana para penyewa dapat melihat potensi lokasi pusat dan jumlah pengunjung."

Paradigm Mall misalnya, yang dibuka pada November 2017, setakat ini mendapat sambutan menggalakkan dari pembeli dan penjual.

(Gambar: Paradigm Mall Johor Bahru)

(Gambar: Paradigm Mall Johor Bahru)

Pemajunya, WCT Holding, memberitahu Mediacorp pihaknya meraih keuntungan RM40 juta bagi suku pertama tahun ini dan bakal mempertingkatkan kompleks itu dengan penambahan hotel mewah 200 bilik.

Meskipun menunjukkan masa depan yang cerah, belum ada jaminan pusat-pusat beli-belah seperti boleh terus mampan dalam tempoh sedekad akan datang.

Encik Robert Lee, seorang warga Singapura yang berkunjung ke Johor Bahru setiap minggu untuk membeli-belah, berkata Toppen sekadar satu dari kalangan banyak pusat yang boleh dipilihnya di Johor.

"Saya rasa setelah daya tarikannya kurang, orang tidak akan berkunjung lagi," kata ahli niaga itu.

"Dalam tempoh beberapa tahun, ia mungkin akan jadi seperti pusat beli-belah lain di Johor Bahru - kosong. Dan mungkin juga terbengkalai," tambah beliau.

PROJEK PUSAT BELI-BELAH GAGAL MERATA JOHOR BAHRU

Di bahagian lain bandar itu, kelihatan pusat-pusat beli-belah yang terbengkalai - Pacific Mall, Danga City Mall dan Lot 1 JB Waterfront City.

Pintu masuk Danga City Mall (Gambar: Amir Yusof)

Bangunan Pacific Mall yang terbengkalai (Gambar: Amir Yusof)

Misalnya Pacific Mall di Bukit Chagar, terletak hanya satu kilometer dari Koswe. Kompleks beli-belah lima tingkat itu terabai pada 1997 apabila 90 peratus hampir siap.

Malah Danga City Mall, dahulu pusat beli-belah hab perkakas IT dengan banyak kemudahan, berhenti beroperasi pada 2018 setelah 10 tahun.

Pintu masuk Danga City Mall (Gambar: Amir Yusof)

Pintu masuk Danga City Mall (Gambar: Amir Yusof)

Media tempatan melaporkan pusat tersebut akan diubah suai, namun apabila Mediacorp berkunjung bulan lalu, tiada tanda-tanda kerja peningkatan.

Yang tinggal hanya koridor kosong dan tangga bergerak yang kini terpaku.

STRATEGI PEMBANGUNAN BANDAR JB DIPERHALUSI

Menurut pakar pelancongan dan perniagaan dari Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Nanthakumar Loganathan, terdapat naratif bahawa "pusat beli-belah adalah konsep yang pupus" yang digantikan dengan pembelian secara online.

"Kita melihat beberapa pusat di JB gagal menarik pelanggan atau meraih keuntungan yang secukupnya," kata beliau.

Namun beliau menarik perhatian bahawa Johor baru-baru ini memperhalusi strategi perancangan bandarnya, termasuk menempatkan pusat-pusat beli-belah secara berkelompok agar dapat menawarkan pengunjung dengan lebih banyak kemudahan dan pilihan kedai.

“Ia sama seperti cara Kuala Lumpur dibentuk, dengan pusat-pusat beli-belah dikelompokkan di kawasan ramai orang, dan bukan diletakkan di sana sini. Saya rasa ini berjaya menarik ramai warga Singapura ke Johor," kata Prof Madya Loganathan.

Dalam pada itu, IKEA menyatakan strategi menghubungkan gedungnya dengan pusat beli-belah adalah "formula berhasil".

Ia menyatakan gedung-gedungnya di Kuala Lumpur mencatat "pertumbuhan dua angka" dalam jumlah pengunjung tahun lalu. Pendapatan keseluruhannya juga melonjak 15 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Kami menghasilkan destinasi dengan tarikan meluas dan perniagaan-perniagaan kami saling menyokong satu sama lain dengan lintas kunjungan (cross-visitation)," kata seorang jurucakap IKEA.

PENGHASILAN KERJA PENTING BUAT JOHOR

Menyentuh tentang Toppen, IKEA menganggarkan pembangunan pusat itu akan menjana 5,000 pekerjaan di Johor Bahru.

Prof Madya Loganathan, yang dilantik untuk menjalankan kajian tentang bagaimana kerajaan Malaysia dapat menghasilkan lebih banyak pekerjaan untuk rakyatnya untuk memujuk mereka daripada mencari kerja di Singapura, berkata Toppen akan membawa manfaat bagi warga Johor.

"Pekerjaan dalam bidang pelancongan boleh memberi warga Johor lebih banyak pilihan berbanding merentasi Koswe untuk bekerja dan menghabiskan masa (perjalanan) dan wang (untuk tempat tinggal)."

"Sebab utama orang di Johor meninggalkan negeri adalah kerana tiada pekerjaan yang mampan..."

"Lebih baik mereka bekerja di pusat-pusat beli belah seperti Toppen dan menyumbang kepada ekonomi tempatan," kata beliau. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan