Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Mediacorp, PropNex, 99.co jalin kerjasama lancar Pameran Hartanah Maya 2020

Sebuah pameran hartanah secara maya akan dilancarkan pada bulan depan hasil kerjasama antara Mediacorp, agensi hartanah PropNex dan portal hartanah 99.co.

Anggaran Waktu Membaca:
Mediacorp, PropNex, 99.co jalin kerjasama lancar Pameran Hartanah Maya 2020

Rumah privet di Singapura. (Gambar fail: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 17 Sep 2020 02:01PM Dikemas Kini : 17 Sep 2020 02:03PM

SINGAPURA: Sebuah pameran hartanah secara maya akan dilancarkan pada bulan depan hasil kerjasama antara Mediacorp, agensi hartanah PropNex dan portal hartanah 99.co.

Pameran 'Singapore Property Show 2020' dijadualkan berlangsung dari 10 Okt hingga 4 Dis dan akan menampilkan hampir 20 projek hartanah yang baru dilancarkan. Kerjasama itu diumumkan semasa satu konvensyen maya PropNex pada Selasa (16 Sep).

Dihoskan oleh 99.co, pameran hartanah secara maya itu menampilkan lawatan secara maya disertakan penerangan suara latar bagi setiap projek yang disenaraikan sebagai ganti lawatan ke tapak hartanah, menurut satu kenyataan media oleh PropNex.

Para pembeli hartanah juga boleh mengunjungi lebih daripada satu flat contoh "tanpa risiko kesihatan dan kesulitan" apabila berkunjung ke tapak hartanah, kata Ketua Pegawai Eksekutif 99.co Darius Cheung.

"Teknologi kami menawarkan pengalaman tinjau secara maya yang menarik, namun tidak kurang maklumatnya berbanding lawatan fizikal," kata Encik Cheung.

Kaedah seperti kalkulator gadai janji segera akan membantu para pengguna membuat keputusan mengenai hartanah berdasarkan maklumat yang lengkap, sementara para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat mengenai pasaran hartanah dalam rencana dan video online, menurut PropNex.

Syarikat itu juga menyatakan ia akan mengadakan seminar mingguan secara maya untuk para pengguna mendengar pandangan dan strategi pelaburan hartanah terus menerus daripada para pemain industri.

Kerjasama itu membolehkan PropNex "menawarkan lebih banyak pilihan hartanah kepada khalayak lebih besar sekaligus menjadikannya pameran hartanah maya yang terbesar", kata CEO PropNex Ismail Gafoor.

Ketua Pegawai Komersil dan Digital Mediacorp Parminder Singh berkata: "Singapore Property Show 2020 akan memperkasa pembeli hartanah untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat yang lengkap, dengan menawarkan kepada mereka portal sehenti bagi mendapatkan kandungan diyakini dan pandangan pakar.

"Inisiatif secara maya yang menarik ini juga akan menyediakan pengalaman yang menyeluruh kepada para pembeli hartanah."

Butiran lanjut akan diumumkan menjelang pelancaran pameran itu.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan