Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

MAS teliti maklumat Kertas Pandora berhubung Asiaciti Trust berpangkalan di S'pura

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) sedang menyemak maklumat mengenai firma Asiaciti Trust, yang berpangkalan di Singapura, setelah firma itu dinyatakan dalam rekod-rekod sulit kewangan yang bocor, yang dipanggil 'Kertas Pandora'.

Anggaran Waktu Membaca:
MAS teliti maklumat Kertas Pandora berhubung Asiaciti Trust berpangkalan di S'pura

(Gambar hiasan: AFP)

Diterbitkan : 06 Oct 2021 07:41PM Dikemas Kini : 06 Oct 2021 07:49PM

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) sedang menyemak maklumat mengenai firma Asiaciti Trust, yang berpangkalan di Singapura.

Ini setelah firma itu dinyatakan dalam rekod-rekod sulit kewangan yang bocor, yang dipanggil 'Kertas Pandora'.

"MAS sedang meneliti maklumat daripada laporan terbaru ini dan akan melaksanakan pengawasan lanjut sewajarnya," kata seorang jurucakap MAS semasa menjawab pertanyaan media.

"MAS tidak bertolak ansur dengan penyalahgunaan sistem kewangan kita untuk kegiatan haram dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap FI (institusi kewangan) jika mereka melanggar syarat-syarat ini," menurut jurucakap itu lagi menerusi emel tersebut.

Daripada 11.9 juta dokumen yang bocor, hampir dua juta berasal dari dalam Asiaciti Trust - iaitu penyedia dana amanah dan khidmat korporat yang beroperasi di Singapura, Hong Kong, Kepulauan Cook, Dubai, Nevis, New Zealand, Panama dan Samoa.

Syarikat tersebut ditubuhkan oleh akauntan Australia Graeme Briggs di Hong Kong pada 1978.

Fail-fail yang dibocorkan, merangkumi tahun 1996 hingga 2019, menunjukkan bahawa Asiaciti Trust berkhidmat kepada sekurang-kurangnya 25 tokoh politik untuk menubuhkan dan menguruskan syarikat-syarikat dana amanah & starikat-syarikat boneka di bawah bidang kuasa sulit, menurut Konsortium Antarabangsa bagi Wartawan Penyiasat (ICIJ), yang menerajui siasatan tersebut.

Klien-klien itu termasuk ahli politik Brazil, Eduardo Cunha yang dihukum penjara 15 tahun pada 2017 atas kesalahan rasuah, mengelak cukai dan pengubahan wang haram; Thirukumar Nadesan, anggota keluarga perdana menteri Sri Lanka yang didakwa menyalahgunakan dana awam dan masih belum dibicarakan; serta senator Nigeria Abubakar Atiku Bagudu.

Senator itu terus dikekalkan sebagai pelanggan Asiaciti Trust walaupun terdapat tuduhan bahawa dia membantu bekas presiden Nigeria Sani Abacha mencuri berbilion dolar dari negara itu, menurut laporan ABC Australia, salah satu agensi media yang bekerjasama dengan ICIJ dalam siasatan.

Kertas Pandora juga mendedahkan hubungan perniagaan syarikat itu dengan tiga tokoh perniagaan Rusia. Urus niaga itu melibatkan "struktur syarikat (dana) amanah yang rumit" bernilai AS$70 juta (S$95.3 juta) dalam pelbagai aset seperti hartanah di Moscow, serta saham dan bon, menurut The Guardian, satu lagi rakan media ICIJ.

URUS NIAGA PERNAH DIKETENGAHKAN DALAM PEMANTAUAN MAS

Menurut The Guardian, fail-fail yang dibocorkan menunjukkan bahawa cara Asiaciti Trust mengendalikan beberapa urus niaga melibatkan dua daripada warga Rusia itu diketengahkan oleh MAS sebagai contoh bagaimana perniagaan tersebut gagal mengesahkan sumber dana pelanggannya dengan betul.

Pengawal selia itu juga dilaporkan mengkritik pengurusan kanan syarikat tersebut kerana gagal menetapkan "sekitaran yang sesuai, selera risiko dan budaya pematuhan untuk syarikat", menurut laporan yang sama.

The Guardian, menukil Kertas Pandora, dengan menyatakan ini "bukan satu-satunya perniagaan berisiko" yang mana Asiaciti Trust terlibat.

Ini juga bukan kali pertama nama Asiaciti Trust dikenal pasti oleh ICIJ.

Konsortium bebas itu sebelum ini pernah menamakan pakar dana amanah itu sebagai sebahagian daripada siasatannya terhadap Kertas Paradise 2017. Pada waktu itu, laporannya menggambarkan Asiaciti Trust sebagai "firma yang menguruskan jutaan dolar bagi ramai jutawan dan penipu".

PERNAH DIDENDA S$1.1 JUTA OLEH MAS

Tahun lalu, MAS mengenakan denda S$1.1 juta ke atas Asiaciti Trust kerana melakukan "pelanggaran serius" dalam syarat antipengubahan wang dan pembiayaan keganasan antara 2007 dengan 2018.

Misalnya, Asiaciti Trust gagal menyemak latar belakang dan tujuan "urus niaga yang sangat besar tanpa tujuan ekonomi yang jelas" yang dilakukan oleh "orang yang terdedah secara politik". Individu terdedah secara politik ditakrifkan sebagai mereka yang sedang atau pernah diberi kepercayaan menyandang jawatan tinggi awam di dalam negara, di negara asing atau badan antarabangsa seperti ketua negara atau pemimpin pemerintah.

MAS tidak bagaimanapun mendedahkan perincian pelanggaran tersebut dalam pengumumannya ketika itu.

Dalam kenyataan terbarunya kepada pihak media, pengawal selia kewangan itu menyatakan menyusuli tindakan penguatkuasaannya pada Julai tahun lalu, Asiaciti Trust "sudah mengambil langkah-langkah pembetulan untuk menangani kelemahan yang dikenal pasti oleh MAS".

"MAS terus mengawasi Asiaciti Trust," kata jurucakap pihak berkuasa itu.

LAPORAN BERDASARKAN MAKLUMAT YANG TIDAK LENGKAP: ASIACITI TRUST

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman syarikat itu pada Isnin (4 Okt), Asiaciti Trust menegaskan laporan yang diterbitkan oleh ICIJ dan rakan-rakan medianya adalah "berdasarkan maklumat yang tidak lengkap dan kadang-kadang salah, termasuk beberapa maklumat sulit yang diperoleh secara tidak sah daripada Asiaciti Trust sebagai sebahagian daripada serangan global terhadap penyedia khidmat industri”.

“Dalam kebanyakan kes, laporan yang diterbitkan tidak menggambarkan semua fakta atau konteks keadaan. Ini menyebabkan kesimpulan dan natijah yang sangat mengelirukan mengenai Asiaciti Trust, ”tambahnya.

Syarikat itu juga menambah bahawa "mana-mana badan yang beroperasi dalam jangka yang panjang cenderung mengalami masalah lampau yang tidak mencerminkan perniagaan semasa".

"Kami menyedari ada kejadian-kejadian terpencil di masa lalu, di mana sebelum ini kami tidak mematuhi dan dalam situasi-situasi tersebut, kami bekerjasama dengan pihak berkuasa kawal selia untuk mengatasi kekurangan dan memperbaharui dasar dan prosedur kami dengan segera."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan