Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

MAS tegur 4 institusi kewangan langgar peraturan pengurusan risiko dan ganjaran

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengeluarkan teguran terhadap empat institusi kewangan kerana melanggar peraturan berhubung amalan pengurusan risiko dan memberi ganjaran berdasarkan penjualan, di bawah Akta Penasihat Kewangan, menurut penguasa itu pada Selasa (15 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Jun 2021 03:10PM Dikemas Kini : 15 Jun 2021 10:32PM

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengeluarkan teguran terhadap empat institusi kewangan kerana melanggar peraturan berhubung amalan pengurusan risiko dan memberi ganjaran berdasarkan penjualan, di bawah Akta Penasihat Kewangan, menurut penguasa itu pada Selasa (15 Jun).

Empat institusi tersebut adalah: AIA Financial Advisers (AIA FA), Prudential Assurance Company Singapore, Aviva dan Aviva Financial Advisers (Aviva FA).

PERATURAN APA DILANGGAR?

Dalam satu kenyataan media, MAS menyatakan bahawa sewaktu tempoh penyeliaan yang ia jalankan, terdapat tanda-tanda bahawa institusi-institusi kewangan itu mungkin melanggar peraturan-peraturan kawal selia dalam amalan memberi ganjaran.

Ia menjalankan siasatan dan mendapati "banyak contoh" di mana ganjaran diberikan kepada para penyelia - iaitu seorang yang bertanggungjawab secara langsung atau tidak, ke atas pengawasan atau pengurusan seorang penasihat kewangan - yang bercanggah dengan peraturan-peraturan di bawah Akta Penasihat Kewangan.

Salah satunya adalah keperluan Skorkad Seimbang (BSC) dalam penjualan produk-produk pelaburan.

Di bawahnya, pendapatan tidak tetap para penyelia dan wakil ditentukan oleh petunjuk prestasi utama (KPI) bukan penjualan, seperti memahami kehendak klien dan keserasian produk yang disarankan. Gred diberikan kepada penyelia dan para wakil pada setiap suku tahun kewangan.

Satu lagi adalah keperluan Mengagih dan Mengehadkan Komisyen (SCC) yang dikenakan ke atas penjualan polisi insurans.

Syarikat insurans dan penasihat kewangan dikehendaki mengehadkan pendapatan tidak tetap yang dibayar kepada para wakil dan penyelia kepada 55 peratus pada tahun pertama dan mengagihkan baki pendapatan itu untuk dibayar sepanjang "tempoh yang ditentukan".

Institusi-institusi kewangan dan beberapa individu terlibat juga melanggar Peraturan Penasihat Kewangan dan Panduan mengenai Amalan Pengurusan Risiko, yang memerlukan institusi-institusi kewangan untuk melaksanakan dasar-dasar agar mematuhi peraturan-peraturan.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan