Images
  • MAS
    Ibu pejabat Penguasa Kewangan Singapura. (Gambar: Jason Quah/TODAY)

MAS sangkal Singapura manipulasi mata wang

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyatakan ia tidak melakukan manipulasi terhadap mata wang Singapura bagi memberi kelebihan kepada eksport negara ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Amerika Syarikat memasukkan Singapura ke dalam senarai pemantauannya mengenai amalan matawang dan dasar-dasar ekonomi makro.

MAS menyatakan rangka kerja dasar kewangannya tertumpu kepada kadar tukaran dan sentiasa mahu memastikan harga yang stabil dalam jangka sederhana.

Menurut MAS lagi ia tidak melakukan dan tidak boleh menggunakan kadar tukaran mata wang untuk memberi kelebihan kepada eksport atau meraih lebihan akaun semasa.

Ini memandangkan perbuatan sengaja melemahkan nilai dolar Singapura akan menyebabkan inflasi mengalami kenaikan besar dan menjejas matlamatnya memastikan harga stabil.

MAS menyatakan pada awal-awal tahun pembangunannya, Singapura mengalami defisit akaun semasa yang besar.

Namun ia berubah menjadi lebihan seiringan dengan keadaan ekonominya menjadi matang.

Bagaimanapun dalam penilaiannya, MAS menyatakan dengan meningkatnya kemewahan, perbelanjaan akan bertambah.

Lebihan dalam akaun semasa akan berkurangan apabila wang simpanan digunakan bagi menampung keperluan penduduk tempatan yang kian menua.

- CNA/MU/na

Top