Images
  • MAS
    Gambar fail: REUTERS

MAS perketat dasar dolar S'pura; 'pastikan harga stabil pada jangka pertengahan'

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengetatkan dasar kewangan pada Khamis (15 Okt), dalam satu langkah yang menurutnya akan memastikan kestabilan dolar Singapura pada jangka pertengahan.

Dalam kenyataan dasar kewangan separuh tahunan bank pusat Singapura itu, MAS menyatakan ia akan "naikkan sedikit" kadar pertukaran efektif nominal dolar Singapura (S$NEER) dari kadar peningkatan sifar sebelumnya.

Keluasan jalur dasar dan tahap di mana ia berpusat tetap tidak berubah.

MAS yang menyemak dasar tersebut dua kali setahun menyatakan langkah itu bagi memastikan dolar Singapura terus stabil dalam tempoh pertengahan sambil mengambil kira risiko sedang ekonomi Singapura dijangka terus berkembang pada suku-suku mendatang.

Melainkan COVID-19 melonjak kembali di peringkat sejagat atau terdapat kemunduran dalam rentak pembukaan semula ekonomi, hasil pengeluaran seharusnya kembali ke sekitar paras jangkaan pada 2022.

Pada masa yang sama, tekanan kos luaran dan dalam negeri sedang meningkat sekali gus menunjukkan permintaan yang pulih serta syarat bekalan yang ketat.

MAS menjangkakan inflasi teras - yang tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan privet - meningkat antara 1 hingga 2 peratus tahun depan dan hampir 2 peratus pada jangka pertengahan.

MAS menggunakan kadar peningkatan "sifar peratus" pada Mac tahun lalu apabila ekonomi mula menghadapi tekanan daripada COVID-19.

Langkah mengetatkan dasar kewangan kali ini adalah yang pertama sejak 2018 apabila MAS meningkatkan S$NEER sebanyak dua kali untuk membolehkan dolar Singapura diperkukuh secara beransur-ansur pada tahap sederhana.

Bank pusat itu menguruskan dasar ekonomi menerusi pertukaran mata wang dan bukannya kadar faedah.

Data awal yang dikeluarkan secara berasingan pada pagi Khamis menunjukkan ekonomi Singapura tumbuh pada rentak lebih perlahan 6.5 peratus pada suku ketiga 2021 berbanding setahun sebelumnya, turun dari pertumbuhan 15.2 peratus pada suku kedua.  

- CNA/FZ/fz

Top