Images
  • mas
    (Gambar fail: Reuters) 

MAS nafi dakwaan S'pura guna mata wang kripto sebagai syiling rasmi

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) memberi amaran kepada orang ramai supaya jangan mudah terpedaya dengan laman web palsu yang mengaitkan pelaburan mata wang kripto dengan Pemerintah.

MAS dalam kenyataannya menyatakan bahawa laman-laman web palsu ini mendakwa bahawa Singapura akan menggunakan mata wang kripto sebagai syiling rasmi.

"Mereka juga mendakwa bahawa sebuah syarikat sudah dilantik secara eksklusif untuk memasarkan mata wang kripto tersebut," menurut MAS.

Laman-laman web seperti itu meminta mangsa untuk memberikan maklumat peribadi dan kewangan mereka bagi urusan pembelian mata wang kripto.

"Ini adalah satu penipuan dan orang ramai harus mengelak daripada mendedahkan sebarang maklumat kewangan atau peribadi kepada aplikasi yang berkaitan dengan laman web seperti itu," tambah MAS.

MAS turut menasihati tentang risiko pelaburan dalam mata wang kripto atau token digital.

MAS dan Jabatan Ehwal Komersil (CAD) mengeluarkan beberapa makluman sejak Dis 2017, bagi memberi amaran kepada orang ramai mengenai risiko-risiko pelaburan sedemikian.

Orang ramai yang mengesyaki bahawa sesuatu tawaran pelaburan mungkin palsu atau disalahgunakan untuk kegiatan-kegiatan lain yang menyalahi undang-undang, perlu membuat aduan polis.  

- BERNAMA/AQ/aq

Top