Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Malaysia Airlines ganding bahu dengan Qatar Airways tawar lebih banyak destinasi

Malaysia Airlines kini menawarkan lebih banyak kesambungan sehenti yang lebih lancar antara Kuala Lumpur dengan beberapa bandar utama di Eropah.

Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia Airlines ganding bahu dengan Qatar Airways tawar lebih banyak destinasi

Gambar hiasan pesawat Malaysia Airlines. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 16 Jan 2020 08:53AM Dikemas Kini : 16 Jan 2020 08:54AM

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines kini menawarkan lebih banyak kesambungan sehenti yang lebih lancar antara Kuala Lumpur dengan beberapa bandar utama di Eropah menerusi peluasan kerjasama perkongsian kod bersama Qatar Airways iaitu salah sebuah syarikat penerbangan rakan kongsi dalam perikatan Oneworld.

Semua perkhidmatan perkongsian kod akan dipasarkan sebagai penerbangan Malaysia Airlines, justeru memudahkan urusan tiket kepada satu dokumen yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan nasional, menurut Malaysia Airlines dalam kenyataan pada Rabu (15 Jan).

Malaysia Airlines kini sudahpun menawarkan penerbangan ke Doha, Qatar, melalui perjanjian perkongsian kod sedia ada dengan Qatar Airways.

Mulai 27 Januari ini pula, para penumpangnya boleh menempah tempat duduk ke 12 destinasi tambahan dengan kesambungan sehenti seperti Frankfurt, Munich, Zurich, Vienna, Rom, Madrid, Barcelona, Geneva, Copenhagen, Brussels, Athens dan Oslo.

Menerusi perjanjian perkongsian kod sedia ada, penumpang Malaysia Airlines dapat menempah perjalanan ke 10 destinasi di Amerika Syarikat, termasuk Boston, New York dan Dallas.

"Melalui kerjasama ini, kami akan dapat menyediakan pilihan perjalanan kepada pelancong luar negara serta mempelawa lebih ramai pelancong untuk menikmati keindahan yang ditawarkan Malaysia. Kami mahu berkongsi 'Malaysia Hospitality' dan menyediakan pengalaman melancong ke Malaysia untuk penumpang kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kapten Izham Ismail.

Penumpang Qatar Airways juga boleh menempah penerbangan Malaysia Airlines ke dua destinasi tambahan di Malaysia, iaitu Sibu dan Alor Setar, serta dua destinasi di Indonesia -- Medan dan Surabaya.

Ketua Eksekutif Kumpulan Qatar Airways Akbar Al Baker berkata kedua-dua syarikat penerbangan berkenaan akur akan manfaat penting yang dibawa menerusi kerjasama perkongsian kod, menyediakan layanan yang tiada tandingan dan kesambungan lancar kepada penumpang sejak 2001.

"Peluasan kerjasama perkongsian kod antara Qatar Airways dengan Malaysia Airlines adalah langkah seterusnya dalam mengukuhkan lagi perkongsian erat kami," katanya.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan