Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Majoriti rakyat M'sia risau situasi ekonomi negara

Majoriti rakyat Malaysia nampaknya terus hidup dalam keadaan tidak yakin berkait daya maju ekonomi negara dan kemampuan kerajaan memimpin negara ke arah yang betul.

Anggaran Waktu Membaca:
Majoriti rakyat M'sia risau situasi ekonomi negara
Diterbitkan : 01 Feb 2021 09:51PM Dikemas Kini : 01 Feb 2021 09:53PM

KUALA LUMPUR: Majoriti rakyat Malaysia nampaknya terus hidup dalam keadaan tidak yakin berkait daya maju ekonomi negara dan kemampuan kerajaan memimpin negara ke arah yang betul.

Demikian dapatan tinjauan pendapat suku keempat 2020 yang dijalankan oleh EMIR Research pada Disember tahun lalu melibatkan 1,976 responden, lapor Astro Awani.

Menurut laporan yang dikeluarkan hari ini (1 Feb), lima daripada setiap 10 responden mengatakan bahawa mereka tidak pasti sama ada negara berada di landasan yang benar, kemampanan hala tuju ekonomi serta kemampuan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara.

Daripada jumlah itu, kira-kira tiga daripada 10 responden bersetuju, sementara dua daripada 10 tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, menurut Astro Awani.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Dr Rais Hussin, berlaku perubahan ketara pada dapatan kajian kali ini berbanding kajian suku ketiga tahun lalu.

"Namun, peratusan responden yang hampir sama seperti tinjauan suku tahunan sebelum ini di mana 39 peratus mengakui positif terhadap perubahan dalam kehidupan mereka dan 53 peratus bersifat optimis terhadap masa depan mereka," katanya dalam laporan tersebut.

Jelas laporan itu lagi, pada suku keempat 2020, 19 peratus responden tidak bersetuju dengan penyataan bahawa masa depan negara berada di landasan yang tepat, berbanding hanya lapan peratus pada suku sebelumnya, menjadikan perbezaannya lebih daripada 10 peratus.

Malah, 27 peratus responden tidak bersetuju bahawa ekonomi negara kukuh, berbanding hanya 16 peratus tidak bersetuju pada suku ketiga 2020.

Menurut Astro Awani, trend sama turut diterjemah berkait kemampuan kerajaan PN mentadbir negara iaitu 19 peratus tidak bersetuju berbanding hanya 9 peratus tidak setuju pada suku ketiga 2020.

Jelas Encik Rais, tinjauan tersebut tidak mengambil kira peristiwa yang berlaku sepanjang Januari lalu.

Antaranya, penolakan pendapaftaran Parti Pejuang Tanah Air dan Muda, pertukaran Setiausaha Agung Barisan Nasional serta pengisytiharan keadaan darurat.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan