Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Majikan akan terima lebih S$3 bilion bayaran JSS mulai 30 Mac

Bayaran lebih S$3 bilion akan diagihkan kepada para pekerja di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) mulai 30 Mac.

Anggaran Waktu Membaca:
Majikan akan terima lebih S$3 bilion bayaran JSS mulai 30 Mac

Para pekerja di Raffles Place. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 25 Mar 2021 03:01PM Dikemas Kini : 25 Mar 2021 03:07PM

SINGAPURA: Bayaran lebih S$3 bilion akan diagihkan kepada para pekerja di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) mulai 30 Mac.

Bayaran itu akan diberikan kepada lebih 150,000 majikan untuk menyokong gaji lebih dua juta pekerja tempatan, menurut Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) dan Kementerian Kewangan (MOF) hari ini (25 Mac).

"Dengan bayaran ini, lebih S$24.5 bilion sokongan JSS akan diagihkan sejak skim itu diperkenalkan dalam Belanjawan Perpaduan pada Februari 2020," menurut IRAS dan MOF dalam kenyataannya.

JSS menyediakan subsidi gaji untuk membantu syarikat-syarikat mengekalkan dan menggajikan pekerja tempatan sedang perniagaan terjejas dek pandemik COVID-19.

Para majikan yang membuat caruman wajib CPF bagi bulan September hingga Disember 2020 sebelum tarikh akhir yang ditetapkan, layak menerima agihan tersebut.

Bagi bayaran seterusnya pada bulan Mac ini, para majikan akan menerima sokongan sehingga 50 peratus daripada S$4,600 pertama gaji bulanan kasar yang dibayar dalam bulan September hingga Disember 2020.

Para majikan dalam sektor penerbangan, aeroangkasa dan pelancongan juga akan menerima 50 peratus sokongan. Mereka yang bertugas dalam sektor khidmat makanan, runcit, seni dan hiburan, pengangkutan darat serta marin dan luar pesisir akan menerima sokongan sebanyak 30 peratus.

Para majikan dalam sektor persekitaran terbina akan menerima sokongan 50 peratus bagi gaji yang dibayar dalam bulan September hingga Oktober 2020 dan 30 peratus bagi gaji yang dibayar dalam bulan November hingga Disember 2020.

Semua sektor lain akan menerima sokongan sebanyak 10 peratus.

Dengan ekonomi dibuka semula secara bertahap-tahap selepas tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19, firma-firma yang tidak dibenarkan untuk menyambung semula operasi di tempat kerja akan terus menerima 50 peratus sokongan sehingga mereka dibenarkan berbuat demikian atau sehingga Mac 2021, bergantung kepada mana satu yang lebih awal, menurut MOF dan IRAS.

KELENGAHAN BAYARAN BAGI 5,500 MAJIKAN

Sekitar 5,500 majikan akan menerima bayaran bagi Mac 2021 hanya pada hujung April, sementara menunggu pengesahan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI)berhubung tarikh yang digunakan dalam pengiraan pembayaran.

Semua majikan yang terjejas akan dimaklumkan menerusi surat pemberitahuan atau kiriman emel. Mereka juga boleh melungsuri laman go.gov.sg/JSSreopeningdate.

Lebih banyak maklumat akan disediakan selepas itu.

Para majikan yang menggunakan PayNow Corporate atau GIRO dengan IRAS dijangka akan menerima bayaran mulai 30 Mac.

Para majikan lain akan menerima cek mulai 5 April.

Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 pada bulan lalu, JSS akan dilanjutkan sehingga enam bulan bagi firma-firma dalam sektor yang terjejas teruk, dengan menampung gaji yang dibayar sehingga September.

"Dengan pelanjutan JSS, perniagaan-perniagaan ini akan menerima sokongan gaji sehingga 23 bulan sejak skim itu diperkenalkan semasa Belanjawan Perpaduan untuk membantu mereka mengekalkan tenaga kerja masing-masing," menurut MOF dan IRAS.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan