Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

M3 lancar bidang tumpuan keempat, hulur sokongan pekerjaan dan daya bekerja

Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad mendedahkan bidang tumpuan keempat M³ iaitu meningkatkan peluang pekerjaan, kemahiran, dan daya bekerja, pekerja Melayu/Islam atau FA4, semasa pelancaran pesta kerjaya dan kemahiran JUMP pada Ahad (11 Okt)

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Oct 2020 08:49PM Dikemas Kini : 11 Oct 2020 10:11PM

BERITAmediacorp: Masyarakat Melayu/Islam khususnya golongan pekerja akan menerima lebih banyak sokongan bagi pekerjaan dan kemajuan kerjaya mereka.

Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad mendedahkan bidang tumpuan keempat M³ iaitu meningkatkan peluang pekerjaan, kemahiran, dan daya bekerja, pekerja Melayu/Islam atau FA4.

Encik Zaqy mengumumkan demikian di pelancaran pesta kerjaya dan kemahiran JUMP, anjuran MENDAKI SENSE di Kelab Masyarakat Marsiling hari ini (11 Okt).

Usaha itu katanya melibatkan penggemblengan usaha lebih bersepadu pelbagai agensi Melayu/Islam untuk membantu pekerja yang terjejas COVID-19.

BIDANG TUMPUAN KE-4 LIBATKAN USAHA LEBIH BERSEPADU PELBAGAI AGENSI MELAYU/ISLAM

Tiga bidang tumpuan Rangkaian kerjasama MUIS, MENDAKI dan MESRA (M³) sekarang ini ialah memperkukuh unit keluarga, mempertingkat sokongan bagi banduan dan keluarga, serta membina keupayaan belia Melayu/Islam.

Di tengah-tengah pandemik COVID-19 sekarang, bidang tumpuan itu diluaskan meliputi usaha membantu pekerja Melayu/Islam yang hilang pekerjaan serta menyiapkan mereka mengharungi norma baru selepas pandemik.

Menurut Encik Zaqy yang juga Timbalan Pengerusi MENDAKI, di bawah bidang tumpuan itu, M³ akan menyepadukan usaha badan-badan Melayu/Islam serta khidmat agensi-agensi pemerintah untuk membawa program-program memperkasa keupayaan pekerja melalui M³@Bandar.

Beliau berkata: "Kita melihat bagaimana COVID-19 menjejas pekerjaan dan ekonomi Singapura. Di sini, kita melihat bukan sahaja rakyat Singapura tetapi masyarakat Melayu juga terjejas dari segi pendapatan keluarga, pekerjaan yang tidak menentu."

"Kita juga akan membawa institusi Melayu seperti AMP, PPIS dan disokong menerusi bantuan di pusat kerjaya Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) serta SkillsFuture Singapore (SSG). Dengan FA4 ini, kami dapat mendekati lebih ramai masyarakat kita supaya mereka dapat memanfaatkan program nasional dan masyarakat," tambahnya lagi.

Menyokong daya usaha Encik Zaqy, itu Datuk Bandar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Tenggara, Mohd Fahmi Aliman berkata: "Kami (CDC) akan terus bekerjasama dengan M³ terutama sekali dalam bidang tumpuan keempat ini di mana kami sejak dua minggu lalu sudahpun menandatangani MOU dengan WSG dan e2i untuk memperkuatkan gabungan bagi membantu masyarakat di kawasan-kawasan kami."

GOLONGAN YANG DISASAR

Bidang tumpuan keempat M³ itu akan memanfaatkan empat golongan masyarakat secara keseluruhan termasuk pencari kerja, pekerja matang, golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) dan masyarakat am, khususnya belia dan baru melangkah ke alam pekerjaan.

Encik Zaqy berkata: "Melalui rangkaian M³, kita mempunyai peluang untuk membawa rangkaian karyawan kita di merata M³. Hari ini kita mempunyai lebih 1,000 sukarelawan karyawan di mana kita mahu memberi bimbingan dan sokongan kepada belia kita yang baru mendapat ijazah universiti, ITE dan politeknik."

PESTA KERJAYA JUMP HULUR LEBIH 900 PEKERJAAN

Dalam usaha membantu golongan sasaran itu mencari pekerjaan, sembilan syarikat pelbagai sektor dan penyedia latihan kemahiran menawarkan lebih 900 peluang pekerjaan di Pameran Kerjaya JUMP MENDAKI SENSE kali ini.

Dek sekatan COVID-19, enam daripadanya menawarkan khidmat temu ramah secara online sahaja.

Acara kerjaya itu juga diadakan secara online selama lima hari sejak kelmarin.

Bidang-bidang pekerjaan yang disediakan pula termasuk dalam sektor penjagaan kesihatan, keselamatan dan khidmat makanan.

Encik Zaqy berkata: "Ramai masyarakat Melayu kita yang juga dalam pekerjaan yang terjejas oleh COVID-19 seperti mereka dalam sektor F&B, runcit, pelancongan, hospitaliti. Kita juga melihat mereka yang lebih matang yang perlukan kemahiran baru yang ingin melihat bagaimana mereka boleh meraih kemahiran digital, teknologi dan kemahiran baru supaya mereka dapat meraih peluang pekerjaan baru.

Bagi membantu pekerja wanita yang terjejas, MENDAKI SENSE meluaskan lagi program kembali bekerja ataupun 'Back-To-Work Women'.

Encik Zaqy Mohamad semasa pesta kerjaya anjuran Mendaki SENSE pada 11 Okt 2020 (Gambar: Facebook/Zaqy Mohamad)

Pengarah Eksekutif MENDAKI SENSE, Mohd Faiz Selamat berkata: "Selama ini kita telah membantu 1,500 wanita tetapi daripada mereka golongan itu, 80 telah memasuki program ini di mana kita membantu mereka dengan kaedah 'Step In, Step Up dan Step Out' dan Alhamdulillah satu daripada empat sudah mendapatkan pekerjaan pada waktu ini.

Lebih 140 orang menghadiri pesta kerjaya hari ini di samping hampir 40 lagi yang sudah menghadiri acara tersebut secara online sejak 9 Oktober.

Encik Muhd Fazli Hussein, 41 tahun, datang ke pesta kerjaya itu dengan harapan dapat mencari kerja dengan gaji yang lebih lumayan.

"Saya kini bekerja di khidmat pembersihan persekitaran dan prospek pekerjaan tidak baik dan pendapatan tidak lumayan. Saya datang untuk melihat sekiranya ada prospek kerjaya yang baik di sini," ujarnya.

Cik Zahara Ismail, 58 tahun pula ingin mencari pekerjaan di sektor keselamatan atau penjagaan kesihatan.

Beliau berkata: "Saya nak tukar kerjaya.Saya datang ke pameran kerjaya kerana saya pun ingin mengambil kesempatan ini untuk mencuba."

MENDAKI SENSE akan menganjurkan empat lagi pameran kerja tahun ini di kawasan Boon Lay, Nee Soon South, Keat Hong dan Tampines.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan